Tidak perlu mesyuarat khas Parlimen bentang RUU Anti Lompat Parti

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan mesyuarat khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku ketua majlis.

Wan Junaidi berkata, beberapa faktor telah dipertimbangkan semasa sesi perbincangan bersama Ismail Sabri antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat khas Parlimen bagi kedua-dua dewan.

"Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika mesyuarat khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan.

"Selain itu, penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara pada ketika ini sehingga pertengahan Julai bagi mengikuti program-program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan lain-lain pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, RUU berkenaan akan dibahas dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 bermula 18 Julai ini sebagaimana takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaan RUU berkenaan.

Katanya, pembentangan itu nanti akan memberi masa yang mencukupi untuk RUU tersebut diteliti oleh ahli Parlimen sebelum dibahas.

Dalam pada itu Wan Junaidi turut memaklumkan, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang RUU tersebut akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang telah disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Penyata ini akan dibentangkan semasa sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti," jelasnya.