Taman Negeri Kenaboi kembali dibuka

Keindahan kawasan air terjun di Taman Negeri Kenaboi. Foto: Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan
Keindahan kawasan air terjun di Taman Negeri Kenaboi. Foto: Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Taman Negeri Kenaboi yang ditutup sejak Disember tahun lalu bagi kerja-kerja penyelenggaraan selepas terjejas dalam bencana banjir akan dibuka semula Julai ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, bagaimanapun pengunjung dinasihatkan untuk berhati-hati kerana jalan masuk ke situ masih belum dibaik pulih sepenuhnya.

"Dengan peruntukan RM300,000 kita dah baik pulih sistem air, kemudahan lain dan tapak perkhemahan yang terjejas akibat banjir tahun lalu.

"Cuma jalan masuk itu ada masalah sikit kerana selepas bencana itu ia jadi agak sempit dan jabatan sedang berusaha baik pulihnya dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu. Jadi pengunjung perlu berhati-hati, " katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pusat rekreasi tersebut antara lokasi produk ekopelancongan yang mendapat tarikan pelancong di Negeri Sembilan.

Katanya, dengan keindahan semula jadinya dan air terjun yang bersih sesiapa pun ingin merasai pengalaman melakukan aktiviti perkhemahan di situ.

"Kita juga sedang merancang beberapa program pembangunan untuk menaik taraf kawasan itu untuk jadi lebih menarik dan lebih sesuai untuk pengunjung.

"Cuma disebabkan banjir besar tahun lalu, perancangan itu terencat. Sebenarnya kawasan Kenaboi itu luas dan buat masa ini ia tertumpu pada perkhemahan saja," katanya.