Ringgit, buruh murah bukan faktor pemacu eksport

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA tidak harus bergantung kepada faktor seperti penyusutan nilai ringgit dan tenaga kerja asing yang murah bagi merangsang daya saing eksport, kata penganalisis.

Malah, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata kedua-dua faktor itu sememangnya 'tidak sihat' untuk dijadikan pemacu prestasi eksport negara ini.

"Daya saing eksport itu sepatutnya dipacu oleh produktiviti dan bukan sebaliknya," katanya pada sesi perbincangan panel mengenai ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Acara anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia itu diadakan bersempena Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 yang dikeluarkan semalam.

Laporan itu antara lainnya menyatakan, Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus tahun ini berbanding 6.8 peratus pada 2018.

Sementara itu, import pula akan disokong oleh permintaan domestik yang berterusan dengan import kasar dijangka berkembang 4.5 peratus pada 2019 berbanding 4.9 peratus pada 2018 dengan mengambil kira peningkatan semula import perantaraan dan modal.

Mengulas aspek pelaburan asing, Nazri Khan berkata pihak berkuasa di Malaysia, termasuk BNM perlu menumpukan usaha memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang mampu menarik lebih banyak pelaburan.

"Ini supaya PKS berkenaan yang boleh menjadi syarikat berkaitan kerajaan pada masa depan, berada dalam sektor tepat serta mewujudkan pekerjaan yang bersesuaian bagi rakyat negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan oleh BNM, aspek pembiayaan alternatif yang merangkumi modal teroka, pemerolehan ekuiti melalui Internet, pelaburan tidak formal, pemajakan, pemfaktoran serta pembiayaan rakan setara, hanya mencakupi kurang tiga peratus daripada keseluruhan pembiayaan PKS di Malaysia dan memiliki jumlah peserta yang ramai.

Antara bidang dikenal pasti BNM bagi merancakkan pembangunan dan memenuhi keperluan pembiayaan PKS ini adalah mewujudkan satu rangka kerja kepentingan bercagar untuk menambah baik infrastruktur akses kepada pembiayaan, khususnya bagi kumpulan itu yang menyumbang 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pada masa ini, firma tidak diperbadankan yang mencakupi kira-kira 70 peratus daripada PKS, tidak mempunyai rangka kerja yang sah untuk menjadikan aset boleh alih sebagai cagaran.

"Rangka kerja baharu ini akan meluaskan lagi rangkaian aset yang boleh digunakan oleh PKS untuk membuat pinjaman (contohnya jentera, harta intelektual, inventori, produk pertanian) selain cagaran konvensional dalam bentuk bangunan atau harta tanah,” kata BNM. -Bernama