Pemandu teksi mengaku pukul dua rakan lelaki

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemandu teksi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan memukul dua kenalannya, April lalu.

K Ramani, 44, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Hairolazhar Mohd Ishak.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul dua lelaki berusia 57 tahun di sebuah flat di Damansara pada jam 5 petang, 1 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menjaga ibu.

"Saya masih bujang dan saya minta maaf, janji tidak akan buat kesilapan itu lagi," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.