Beaufort lumpuh, aktiviti ekonomi terhenti dan akses terputus

Keadaan banjir di Pekan Beaufort.
Keadaan banjir di Pekan Beaufort.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pekan Beaufort lumpuh selepas paras air Sungai Padas dilaporkan semakin meningkat sebelum melimpah ke jalan raya, sekali gus menenggelami kawasan pekan dan premis perniagaan di sekitarnya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati banyak kedai tidak dapat beroperasi apabila air mula memasuki ruang premis sejak awal pagi.

Keadaan itu menyebabkan aktiviti harian terhenti, manakala peniaga termasuk di bazar Ramadan terpaksa menanggung kerugian suuslan terdapat barangan yang tidak sempat dipindahkan ke tempat selamat.

Selain itu, beberapa laluan utama di kawasan rendah turut dinaiki air sehingga tidak dapat dilalui kenderaan biasa.

Hanya kenderaan berat seperti pacuan empat roda dan lori dilihat mampu meredah banjir, sementara pengguna jalan raya lain dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan untuk ke daerah itu.

Tapak bazar Ramadan di Pekan Beaufort turut ditenggelami air.
Tapak bazar Ramadan di Pekan Beaufort turut ditenggelami air.

Akses ke kawasan perkampungan juga terjejas termasuk laluan masuk ke kediaman penulis sendiri di Kampung Batandok Lubak di sini turut terputus.

Hal ini sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk untuk keluar mendapatkan bekalan keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, penduduk terus memantau perkembangan paras air dengan kebimbangan sekiranya hujan berterusan dan keadaan menjadi lebih buruk.

Selain Beaufort, daerah lain yang turut terjejas akibat banjir ialah Tenom, Membakut, Sipitang dan Sook.

Setakat jam 12 tengah hari pada Khamis, seramai 3,617 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah terjejas.

Daripada jumlah itu, Beaufort merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 948 penduduk ditempatkan di dua pusat pemindahan, iaitu Pusat Pemindahan Kekal Selagon dan Pusat Pemindahan Sementara Dewan Dewan Undangan Negeri Banir.

Sementara itu, bacaan paras air Sungai Padas setakat jam 11 pagi menunjukkan trend membimbangkan apabila berada pada tahap bahaya dengan ketinggian 10.15 meter.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan rendah serta berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan.

 

 

Ringkasan AI

  • Pekan Beaufort lumpuh akibat banjir dari Sungai Padas yang melimpah ke jalan raya dan premis perniagaan
  • Banyak kedai tidak dapat beroperasi dan aktiviti harian penduduk terhenti
  • Peniaga di bazar Ramadan menanggung kerugian akibat barangan tidak sempat dipindahkan
  • Beberapa laluan utama di kawasan rendah tidak dapat dilalui kecuali oleh kenderaan berat
  • Seramai 3,617 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di enam daerah terjejas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!