Kaji semula punca rasuah berleluasa

KLICC turut saran kerajaan kenakan hukuman berat kepada pelaku rasuah

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICC) menggesa agar kerajaan mengkaji semula punca budaya rasuah yang semakin berleluasa di Malaysia.

Presiden KLICC, Profesor Hashim Saleh berkata, salah satu daripadanya adalah dengan melihat semula gaji penjawat awam selaras dengan pangkat dan gaji masing-masing.

Katanya, ia bertujuan memastikan golongan tersebut tidak terdedah dengan masalah kewangan yang akan mengheret mereka terlibat dengan amalan rasuah.

“Kebiasaannya amalan rasuah ini berlaku di bandar-bandar besar kerana kos sara hidup yang sangat tinggi.

"Disebabkan gaji yang diterima tidak setimpal dengan pangkat dan kedudukan, maka amalan rasuah berleluasa di negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal semula pelaksanaan hukuman kepada individu yang terlibat rasuah.

“Walaupun sekecil-kecil suapan, individu tersebut perlu dikenakan hukuman yang lebih berat tanpa mengira jawatan sama ada sektor awam mahupun swasta,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Hashim memberitahu bahawa budaya rasuah di Malaysia seolah-olah sudah menjadi amalan biasa, bahkan individu yang terlibat tidak mempunyai rasa malu dan bersalah.

Artikel Berkaitan:

“Kita semua tahu amalan rasuah ini hukumnya haram dalam Islam kerana memudaratkan kepentingan dan hak masyarakat.

“Sebagai contoh, kemudahan jalan raya, jika pembinaannya melibatkan rasuah dan khianat, maka jalan raya yang siap dibina akan rosak dalam jangka masa pendek. Ini secara tidak langsung akan menyusahkan pengguna,” jelasnya.