Kembali kepada ajaran Islam kekang rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam yang terlibat dengan gejala rasuah boleh diumpamakan seperti manusia yang sudah kehilangan Tuhan dalam kehidupannya, kata Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman.

Menurutnya, ini kerana Islam tidak pernah mengajar seseorang individu itu terlibat atau melakukan rasuah.

Katanya, ALLAH turut menekankan di dalam al-Quran bahawa individu yang mengamalkan rasuah sama ada pemberi atau penerima akan dilaknat, malah berada dalam kehinaan.

“Justeru, kita perlu kembalikan kepada ajaran Islam. Bagi orang Islam sudah tentu mereka tahu soal halal haram.

“Kalau dalam diri mereka ada pegangan agama dan akidah, saya rasa ini tidak akan berlaku. Mereka sudah tentu takut untuk memberi atau menerima rasuah,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata, keadaan rasuah di Malaysia dilihat sukar dibendung, malah ia sudah mencapai kemuncak negara yang tinggi mengamalkan rasuah.

“Saya sendiri berasa sangat malu kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam. Perlembagaan juga meletakkan Islam sebagai negara yang harus dihayati.

“Kebetulan rasuah terjadi dalam kalangan mereka yang beragama Islam. Ini seharusnya tidak berlaku. Mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik dari segi membina dan memikul amanah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, A Aziz turut menyokong pelaksanaan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) kepada ahli politik termasuk calon pilihan raya bagi mengukur tahap integriti masing-masing.

“Saya kira calon yang bertanding mestilah bersih dan kita harus tapis mereka. Ini kerana saya lihat ramai wakil rakyat tidak memahami secara menyeluruh mengenai prinsip Perlembagaan negara.

“Jadi kalau nak cari calon-calon yang baik, saya rasa cadangan ini wajar dipertimbangkan,” katanya.