'Lan dah kena tahan, polis buru Apoi'

Perkongsian video mengenai seorang lelaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah di Facebook 'I Love Teluk Intan' pada Rabu. (Gambar kecil) Ahmad Adnan.
Perkongsian video mengenai seorang lelaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah di Facebook 'I Love Teluk Intan' pada Rabu. (Gambar kecil) Ahmad Adnan.
A
A
A

TELUK INTAN - Perkongsian video tular mengenai aktiviti menghisap dadah membawa kepada penahanan seorang lelaki di sebuah rumah di Chenderong Balai dekat sini pada Rabu.

Lelaki dipercayai penagih itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 5 petang selepas video pendeknya melakukan aktiviti tersebut tular di laman Facebook 'I Love Teluk Intan'.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat yang dikongsi menerusi video tular berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas lelaki berusia 46 tahun itu menemui empat plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 27.75 gram.

"Dadah berkenaan dijumpai dalam beg berwarna hitam yang disandang di bahu kanan.

"Lelaki itu mengaku semua dadah yang dijumpai adalah miliknya," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, saringan awal ujian air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, semakan rekod pula menunjukkan suspek yang juga penganggur itu mempunyai 16 kesalahan lampau dengan sebahagian besarnya berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Suspek telah ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya

Ahmad Adnan berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati, suspek mendapatkan bekalan dadah tersebut daripada seorang individu dengan nama panggilan Apoi di kawasan Langkap.

"Usaha mengesan Apoi yang dipercayai bertindak sebagai pengedar dadah itu sedang giat dijalankan polis," katanya.

Video berdurasi 17 saat yang dikongsi di media sosial itu memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Lan sedang leka melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Lan turut digelar sebagai tokan dadah Chenderong Balai apabila didakwa menjual bekalan bahan terlarang itu kepada budak bawah umur.