Hamzah puji pengurusan keselamatan, sempadan Turkiye

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

ISTANBUL - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Malaysia boleh mempelajari sistem pengurusan sempadan Turkiye yang dilihat berjaya menjamin keselamatan negara itu.

Dalam satu temu bual dengan Agensi Anadolu, beliau berkata, Malaysia mahu mempelajari mengenai kaedah kawalan pelarian, berkongsi pengalaman dalam bidang pelancongan dan pemuliharaan tapak bersejarah serta mengukuhkan pertukaran antara rakyat.

Di tengah-tengah perubahan politik tempatan dan global, Hamzah turut menggesa kepimpinan politik yang lebih kukuh dalam kalangan negara Islam selain perpaduan parti politik yang dapat membuahkan hasil lebih baik untuk negara terlibat.

Malaysia, katanya, ingin memainkan peranan dalam memperjuangkan dunia yang lebih baik dengan menjalin kerjasama dengan semua pihak.

Hamzah yang mengadakan lawatan ke Turkiye turut berkesempatan melawat kawasan sempadan dengan Syria, Iraq dan Greece, serta pusat kawalan.

Berikut adalah temu bual dengan Agensi Anadolu:

Sambil memuji hubungan lebih erat Turkiye dan Malaysia di peringkat tertinggi, Hamzah berkata Turkiye dan Melaka, "dua negara Islam yang telah bekerjasama dalam pelbagai sektor" dalam sejarah perkongsian mereka selama 500 ratus tahun.

"Ini kerana Melaka (semenanjung) ketika itu adalah negara perdagangan, dan Turkiye (Negara Uthmaniyyah) pula sebuah kuasa besar," katanya.

Beliau berkata hubungan diplomatik rasmi yang wujud pada 1964 "menandakan satu lagi tahap persefahaman" antara kedua-dua negara.

"Dalam perubahan ekonomi dunia, kita di Malaysia merasakan bahawa kita juga perlu bekerjasama rapat bukan sahaja dengan negara lain tetapi juga dengan Türkiye, kerana kedua-dua negara telah bekerjasama sejak 500 tahun yang lalu," katanya.

Sempena lawatan itu, Hamzah turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan.

Ketika melawat kawasan sempadanTurkiye dengan Syria dan Iraq dan pengurusan sempadan maritim dengan Greece, Hamzah telah diberi taklimat mengenai pengurusan, perancangan dan pengawasan fizikal.

Beliau turut melawat pusat arahan dan kawalan sistem pengurusan sempadan Türkiye.

Memandangkan keadaan geopolitik di rantau ini, Hamzah berkata, "Terdapat banyak pihak atau negara berminat untuk mempunyai pangkalan mereka di rantau ini."

"Justeru itu, Turkiye telah membuat dasar untuk mengukuhkan keadaan keselamatan dan pertahanan mereka di kawasan itu.

"Untuk melakukannya, anda perlu mempunyai teknologi dan aset yang secukupnya dan mereka (telah) membangunkan aset dan industri jenis itu (untuk) memastikan mereka mempunyai mekanisme pertahanan yang mampan pada masa depan.

"Saya kagum...kerana Turkiye mempunyai dasar pertahanan negara yang berpandangan jauh...," katanya.

Ketika berada di Istanbul Hamzah meluangkan masa melawat pusat panggilan kendalian kerajaan, "merangkumi tujuh jabatan antaranya kesihatan, perhutanan dan bomba yang menggunakan hanya satu nombor, iaitu 112."

"Saya akan mengadakan perjanjian yang sangat komprehensif antara dua negara, terutamanya mengenai keselamatan...," kata Hamzah sambil menambah kedua-dua negara dijangka menandatangani perjanjian mengenai perkara itu dalam beberapa bulan akan datang.

Hubungan akrab akan terus diperkukuh

Hamzah mengakui pandemik telah melambatkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Turkiye dan Malaysia dalam sektor pertahanan.

"Sudah tentu Covid-19 telah mencetuskan lebih banyak masalah. Kami mahu mulakannya semula," katanya merujuk kepada 14 MoU yang ditandatangani antara syarikat swasta Turki dan Malaysia di bidang pertahanan pada 2019.

"Melihat pada sisi positif, kami telah merancang apa yang perlu dilakukan segera selepas pendemik ditangani. Dan kita boleh terus mengorak langkah," tambahnya.

Selain itu menurutnya, Türkiye boleh mendapat manfaat daripada penyertaan Malaysia dalam pakatan perdagangan terbesar dunia - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Dengan begitu banyak perjanjian lain yang kami ada seperti RCEP, ia peluang untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan kami," katanya.

RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas serantau dalam kalangan 14 negara di Asia Pasifik.

Dalam temu bual itu Hamzah turut berkongsi pengalamannya ketika melawat Masjid Hagia Sofia.

"Bukan rakyat Türkiye sahaja yang datang melawat masjid itu malah rakyat dari seluruh dunia. Nilai sejarah sangat penting kepada manusia, kerana ia adalah asas ketamadunan,” katanya.

Masjid itu menjadi tumpuan pengunjung sejak ia dibuka untuk umat Islam menunaikan solat pada 2020.

Türkiye dan Malaysia berkongsi banyak ‘persamaan’ dan rakyat Turkiye boleh mengunjungi Malaysia dan sebaliknya.

Selain itu kedua-dua negara boleh menjalinkan kerjasama antaranya dalam bidang pemuliharaan artifak sejarah.

Katanya, Malaysia juga memiliki "semua budaya ASEAN" dan "Malaysia is truly Asia."

'Masalah Rohingya adalah mengenai identiti'

Berhubung isu kemasukan pelarian Rohingya, menteri itu berkata negara itu tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Atas dasar kemanusiaan kami benarkan mereka berada di Malaysia,” kata Hamzah.

Bagaimanapun, katanya tidak ada sesiapun dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa mematuhi undang-undang dan bertindak sewenang-wenangnya.

"Masalah utama yang kita hadapi ialah mereka yang tidak ada dokumen dan di Malaysia tidak semua Rohingya berdaftar.

"Kami mahu pastikan mereka yang tinggal di negara kami mempunyai dokumen untuk kita tahu keberadaan mereka, di mana mereka tinggal dan bekerja," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa pernah menahan bot yang membawa penduduk Rohingya dan apabila pemerikasaan dilakukan mereka hanya memberikan kad UNHCR.

"Adakah adil dengan hanya memberikan kad itu sebelum mendarat di negara kita...Malaysia. Inilah isu besar yang saya hadapi," katanya.

Pada tahun 1980-an apabila perang Vietnam berlaku dan ramai penduduk dari negara Asia Tenggara yang dilanda perang itu melarikan diri ke Malaysia.

"Dan pada masa itu, kami membenarkan UNHCR mempunyai pangkalan, pejabat sementara... Perjanjian hanyalah sementara untuk mereka membuka pejabat. Tetapi mereka tinggal selama bertahun-tahun," katanya.

Hamzah berkata Malaysia "ingin melihat bagaimana Turkiye menguruskan masalah itu.

Untuk menyelesaikan isu Rohingya, beliau menggesa supaya "mengenal pasti pelarian sebenar."

"Kemudian membawanya ke peringkat antarabangsa untuk mengadakan kerjasama antara Myanmar dan Malaysia, bagi menerima mereka kembali," katanya, mencadangkan penggunaan mekanisme serantau seperti ASEAN.

Mengenai sama ada ASEAN, yang turut dianggotai Myanmar, gagal membantu menyelesaikan isu Rohingya, beliau berkata: "Kami tidak boleh buat sebarang penilaian buat masa ini."

"Jika kita katakan ASEAN gagal dalam isu ini, patutkah (kita) mengatakan PBB juga gagal dalam banyak isu lain,” soalnya.

Beliau berkata ASEAN harus dibenarkan berbincang dengan Myanmar dan ASEAN juga disaran melantik utusan khas "ke Myanmar untuk berbincang mengenainya."

"Ia kini menjadi masalah keselamatan, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga semua negara anggota ASEAN," katanya.

'Negara Islam perlu kepimpinan lebih kuat, kestabilan politik'

Sambil merujuk kepada negara majoriti umat Islam, Hamzah berkata: "Kita harus melihat kepada semua negara Islam (dan) jenis masalah yang mereka hadapi."

"Anda akan melihat krisis kepimpinan, kestabilan politik dan sektor ekonomi.

"Kami, beberapa negara selain kami, hanya boleh memimpin dan membawa mereka kembali ke tahap tertentu...setiap orang harus belajar daripada yang lain dari segi nilai, budaya dan sikap yang akan menjadikan dunia lebih baik," katanya.

Mengenai persekitaran politik di Malaysia, Hamzah berkata: "Saya sangat positif dan optimis bahawa Malaysia boleh mencapai tahap yang lebih baik apabila semua pemimpin politik duduk bersama, melupakan masalah lalu dan meletakkan keutamaan kepada negara."

"Adalah penting untuk semua negara tidak mengalami krisis kepimpinan dan bagi tujuan itu, pemimpin mesti berbincang...insyaAllah Malaysia mampu pergi jauh lebih daripada apa yang kita ada hari ini," katanya.

Mengulas dari segi geopolitik pula Hamzah berkata dasar Malaysia adalah bekerjasama dengan semua pihak.

"Bagi melaksanakannya, Malaysia ingin memainkan peranan dalam berkongsi serta saling mempelajari antara satu sama lain. Apa yang kita perlukan ialah sebuah dunia yang selamat untuk semua orang hidup bersama," katanya. - Bernama