KPDNHEP tumpas kegiatan seleweng minyak diesel

Antara peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Johan Setia, Klang pada Rabu.
Antara peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Johan Setia, Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam satu serbuan di sebuah premis di Johan Setia pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaluddin berkata, serbuan dijalankan pihaknya mendapati premis berkenaan dijadikan tempat penyimpanan minyak diesel tidak berlesen.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 8 pagi itu turut menahan tiga lelaki warga tempatan berumur antara 25 hingga 41 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan terbabit.

"Serbuan telah menemukan lapan unit 'skid tank' berkapasiti 20,000 liter bagi setiap satu unit, empat buah lori dan empat badan tangki lori.

"Selain itu, serbuan dijalankan turut mendapati terdapat pelbagai peralatan yang digunakan bagi kerja-kerja pemindahan minyak diesel," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairi berkata, premis terbabit juga didapati tidak mempunyai lesen yang sah dan tidak mempunyai dokumen kebenaran dari Pengawal Bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi jenis minyak diesel.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 605,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna sekali gus

memastikan keberadaan bekalan barang tersebut di pasaran sentiasa stabil serta dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia," katanya.