Keputusan kes saman fitnah Teresa terhadap Jamal diketahui 26 Julai

Teresa (tiga dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding kes saman fitnahnya terhadap Jamal pada Rabu.
Teresa (tiga dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding kes saman fitnahnya terhadap Jamal pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 26 Julai depan untuk keputusan saman fitnah oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin menetapkan tarikh itu selepas Teresa yang diwakili peguam, Datuk SN Nair memberitahu pihak plaintif menutup kesnya pada Rabu.

Ketika prosiding yang ditetapkan untuk bicara, Nair berkata, pihak plaintif mengemukakan keterangan dua saksi iaitu Teresa dan seorang wartawan, Annabelle Lee.

Bagaimanapun, Jamal selaku defendan tidak mengemukakan sebarang saksi dan tidak menyoal balas saksi-saksi plaintif.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah agar dapat menangguhkan prosiding berkenaan dengan alasan memerlukan masa untuk melantik peguam baharu.

“Saya tidak yakin dengan khidmat peguam terdahulu dan seakan tidak bersungguh-sungguh, saya ada hak untuk mendapat khidmat peguam yang bagus selepas pembelaan saya ditolak.

“Saya harap mahkamah dapat benarkan saya untuk lantik peguam baharu sebab saya tidak faham prosedur, jadi tidak wajar saya jawab soalan mahkamah, saya bukan peguam,” katanya.

Selepas mendengar hujahan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief tidak membenarkan penangguhan prosiding kerana kes berkenaan sudah memakan masa lima tahun sejak saman difailkan.

Mahkamah menetapkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis berhubung liabiliti dan kuantum pada 15 Jun ini dan memfailkan hujahan balasan pada 22 Jun.

Pada 6 April 2017, Teresa memfailkan saman terhadap Jamal yang mendakwa pemimpin UMNO itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah itu.