Penduduk harap masalah air tidak berulang

Siti Noor Hidayu membasuh pinggan mangkuk di rumahnya setelah bekalan air pulih seperti sedia kala.
Siti Noor Hidayu membasuh pinggan mangkuk di rumahnya setelah bekalan air pulih seperti sedia kala.
A
A
A

KUBANG PASU - Penduduk Kampung Wang Perah di Jitra berharap masalah bekalan air yang dihadapi mereka tidak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Wang Perah, Mohamad Zaidi Kasa berkata, dia mewakili penduduk kampung merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana prihatin dengan masalah mereka.

Menurutnya, rata-rata penduduk kampung turut bersyukur kerana mampu menjalani kehidupan seharian dengan sempurna berbanding sebelum ini yang terpaksa bergantung kepada air bukit dan sungai.

"Alhamdulillah, selepas keluar dalam akhbar tak sampai 24 jam bekalan air di kampung ini kembali pulih.

"Beberapa wakil daripada SADA juga turun padang untuk berjumpa dengan penduduk bagi membincangkan isu berkenaan," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohamad Zaidi yang juga Imam Masjid Al-Bukhari Kampung Bukit berharap pihak SADA lebih mengambil berat aduan daripada penduduk selepas ini supaya masalah bekalan air tidak dipanjangkan kepada pihak-pihak lain.

"Jika diikutkan penduduk di sini termasuk saya sendiri kerap buat aduan tetapi mungkin berlaku keciciran sehingga maklumat berkenaan tidak sampai kepada pihak sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Siti Noor Hidayu Dzohiralauddin, 31, mengakui bersyukur kerana tidak lagi perlu ke sungai untuk mencuci pakaian dan menyiang ikan.

"Alhamdulillah, saya rasa lega sangat sebab dah boleh cuci baju guna mesin basuh. Malah anak- anak juga tak perlu mandi sungai lagi," katanya.

Siti Noor Hidayu berkata, dia dan suaminya, Mohd Ridzuan Mohd Noor, 34, sebelum ini terpaksa mengangkut air pada setiap petang dari sungai berdekatan untuk digunakan mereka sekeluarga pada pagi keesokannya.

"Hari ini buka paip dah ada air. Harapnya keadaan ini berterusan, bukan apa tak lama lagi kita hendak sambut Hari Raya Aidiladha pula dan ini kat memudahkan lagi urusan seharian kami," katanya.

Sementara itu, Sukri Din, 62, berkata, bekalan air di kampung mereka mulai pulih sekitar jam 12.30 tengah hari pada Selasa.

"Sebelum itu ada nampak beberapa orang wakil SADA masuk ke kampung, bila pulang ke rumah buka paip air dah ada.

"Alhamdulillah, sebelum ini kami tetap bayar bil bulanan sebanyak RM6 walaupun air tak ada. Jadi kali ini rasa berbaloi hendak bayar bil pun, air dah ada. Saya pula ada cucu yang masih kecil bila ada air ni senang nak uruskan dia," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada pihak media atas liputan yang diberikan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kira-kira 500 penduduk di Kampung Wang Perah, Jitra kecewa kerana terpaksa bergantung kepada air bukit hampir tiga bulan lalu sejak mengalami masalah bekalan air bersih dari paip SADA.

Laporan Sinar Harian pada Selasa berkaitan masalah air di Kampung Wang Perah,Jitra
Laporan Sinar Harian pada Selasa berkaitan masalah air di Kampung Wang Perah,Jitra

Menurut penduduk masalah air di kampung mereka mula berlarutan sejak dua tangki tambahan SADA siap dibina dalam tempoh terbabit.