Kerajaan giat laksana inisiatif sekuriti makanan negara

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua inisiatif sekuriti makanan negara yang dirangka sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia disusuli langkah jangka masa sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan.

"Kerajaan akan terus memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin.

"Dalam menghadapi situasi peningkatan harga dan kekurangan bekalan, kerajaan telah mengumumkan beberapa tindakan jangka pendek," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini bertitah agar krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera, terutama dalam keadaan dunia menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.

Seri Paduka turut menitahkan agar satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.

Ronald berkata, MAFI melalui Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan bersama Tan Sri Mohd Zuki Ali akan terus meneliti sebarang isu berkaitan bekalan makanan negara.

"Memantau status bekalan makanan negara yang meliputi pemantauan terhadap komoditi utama dan merangka pelan tindakan komprehensif untuk meningkatkan jaminan bekalan makanan negara sekali gus memantau pelaksanaan semua tindakan-tindakan yang dilaksanakan," katanya.

Menurut Ronald, MAFI akan meneruskan usaha-usaha memperkukuh sekuriti makanan negara mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan.

"Menerusi kerjasama padu merentasi kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri sekali gus menjamin kelangsungan bekalan makanan yang berterusan dalam apa jua keadaan bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.