Kes HFMD di Pahang tunjuk trend penurunan

Dr Nor Azimi (kanan) meninjau aktiviti saringan awal terhadap kanak-kanak bagi mengesan gejala HFMD yang dijalankan kakitangan Taska Ar Raudah, Kotasas pada Rabu.
Dr Nor Azimi (kanan) meninjau aktiviti saringan awal terhadap kanak-kanak bagi mengesan gejala HFMD yang dijalankan kakitangan Taska Ar Raudah, Kotasas pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pahang mula menunjukkan trend penurunan berdasarkan kes yang direkodkan pada minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, perkembangan positif itu hasil aktiviti kawalan dan pencegahan yang dijalankan secara berterusan.

Menurutnya, penularan penyakit itu mampu dihentikan sekiranya semua pihak termasuk ibu bapa dan pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) dan prasekolah mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

"Secara keseluruhannya, Pahang merekodkan 3,760 kes HFM dalam tempoh Januari hingga 7 Jun tahun ini.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan 16 kali ganda, berbanding hanya 233 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Daripada keseluruhan kes yang direkodkan tahun ini, 175 kes atau 4.7 peratus dikenalpasti hasil daripada penularan yang berlaku di taska, tadika dan prasekolah, manakala 3.585 kes atau 95.3 peratus pula kes sporadik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pemantauan taska dan tadika bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sekitar Kuantan pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Dr Nor Azimi berkata, sehingga Selasa lalu, sebanyak 505 taska dan tadika telah dilawati di negeri ini dan setakat ini 35 premis telah ditutup di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala dua pusat jagaan harian membuat penutupan secara sukarela.

"Kebanyakan kes HFMD yang berlaku melibatkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 3,375 kes (89.8 peratus) diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun (326 kes) dan 59 kes (1.6 peratus) berlaku dalam kalangan individu berumur lebih 12 tahun.

"Penularan HFMD turut dikesan melibatkan golongan berusia lebih 18 tahun dengan 44 kes direkodkan di Pahang setakat ini," katanya.

Beliau berkata, hanya 98 kes (2.6 peratus) kanak-kanak yang dijangkiti dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut.

"Tiada kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau kes kematian direkodkan di negeri ini," katanya.

Jelas beliau, HFMD adalah penyakit berjangkit disebabkan enterovirus dengan majoriti kes disebabkan Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Virus ini boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

"Antara gejala HFMD seperti demam, ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah serta kurang selera makan," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, tiada rawatan khusus untuk merawat jangkitan HFMD.

"Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menasihati orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mengamalkan amalan kebersihan asas seperti mencuci tangan dengan betul terutama selepas mereka menguruskan kanak-kanak ke tandas dan bilik mandi.

"Pengusaha taska dan tadika diminta menjaga kebersihan persekitaran dan melakukan proses nyahkuman secara rutin terutama melibatkan peralatan serta perkakas digunakan oleh kanak-kanak bagi mengurangkan risiko penularan," katanya.

Tambah beliau, saringan awal di pintu masuk penting bagi memastikan kanak-kanak bergejala tidak dihantar ke taska atau tadika bagi mengelak risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain.