Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 55 Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa dari arah Banting menuju ke Tanjung Sepat.

"Ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda hendak membelok ke kanan, namun dirempuh sebuah kereta jenis Honda City.

"Kereta berkenaan dipercayai arah sama dengan mangsa sedang memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi dalam masa sama gagal mengelak motosikal mangsa yang ketika itu sedang membelok ke kanan simpang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, perlanggaran mengakibatkan mangsa tercampak.

"Mangsa berumur 58 tahun itu telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.