Tasik Black Water berisiko sebabkan gangguan air di Selangor

Loy Sian (kiri) meninjau keadaan tapak sampah haram atau Tasik Black Water.
Loy Sian (kiri) meninjau keadaan tapak sampah haram atau Tasik Black Water.
A
A
A

KAJANG - Tapak sampah haram yang dipanggil 'Tasik Black Water' di Bandar Mahkota Cheras berisiko menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, ia berdasarkan siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi operasi bersepadu diketuai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 31 Mei lalu mendapati keadaan tasik tersebut dipenuhi sampah sarap dan efluen kehitaman atau leachate.

Menurutnya, lokasi insiden juga dianggarkan tiga kilometer (km) dengan Sungai Perimbun, manakala jarak tasik ke Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 sekitar 6.5km.

"LRA Cheras Batu 11 berpotensi henti tugas disebabkan peningkatan kandungan Ammoniakal Nitrogen jika melebihi had piawai yang ditetapkan apabila air tasik melimpah sekiranya hujan kerap berlaku.

"LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Loy Sian berkata, pada Ahad lalu, LUAS menerima maklumat aliran efluen kehitaman di kawasan itu berpotensi memasuki Sungai Perimbun iaitu anak Sungai Langat susulan kejadian hakisan tanah yang menyebabkan ban pecah.

"Sampel air di lokasi di kawasan tasik, anak Sungai Langat iaitu Sungai Perimbun dan Sungai Langat mencatatkan bacaan sifar ton serta anggaran kandungan Ammoniakal Nitrogen adalah 0.4mg/l di Sungai Langat.

"Pemantauan rapi dengan pemantauan statik di Sungai Perimbun dan Sungai Langat dilaksanakan, mendapati bacaan bau adalah sifar ton, maka tiada gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dilaporkan," katanya.

Katanya, kerja-kerja membaik pulih telah dilaksanakan dengan mengukuhkan ban yang pecah bagi mengelakkan aliran leachate mengalir ke alur berhampiran.

Pada perkembangan sama Loy Sian berkata, MPKj telah menyita kawasan tersebut dan Notis Pemberhentian Aktiviti Kerja akan diberikan kepada pemilik tanah selepas maklumat status tanah diterima dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat.

Katanya, PDT Hulu Langat juga akan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah bagi arahan pemulihan segera tanah.