Diaspora Malaysia: MPN mulakan kerjasama

Dr Raduan Foto Bernama
Dr Raduan Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Majlis Profesor Negara (MPN) telah memulakan langkah kerjasama dengan diaspora bagi membolehkan mereka memberi sumbangan kepada negara tanpa perlu kembali ke Malaysia.

Presiden MPN, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pihaknya menggunakan pendekatan 'brain gain' dan disokong kerangka yang kemas.

"Kita menyedari sejak kebelakangan ini ramai bakat berhijrah ke negara lain namun ia tidak boleh disekat kerana mereka menimba ilmu serta peluang yang lebih baik," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, negara tidak boleh kehilangan pakar-pakar tersebut.

"Orang selalu merintih 'brain drain' tetapi kita boleh 'brain gain' dengan membangunkan pangkalan data Diaspora Malaysia sebagai langkah pertama," katanya.

Menurutnya, MPN juga akan menyediakan kerangka kerjasama bakat Malaysia dengan agensi tempatan yang bersesuaian dan kerja-kerja asas telah dimulakan.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan strategik diperlukan bagi memperkukuhkan langkah tersebut.

"Sebagai ahli akademik, kita sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)," katanya pada sidang akhbar selepas sesi perbincangan meja bulat Keluarga Malaysia dari Slogan Ke Kerangka Pembangunan Negara di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan khas Sinar Harian bahawa Malaysia telah kehilangan kira-kira 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional kerana memilih untuk bekerja di luar negara sejak 40 tahun lalu.

Beberapa nama besar seperti pakar bedah Dr Amalina Che Bakri, Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal dan Fakhirah Khairuddin merupakan anak muda Malaysia yang kini berkhidmat di luar negara dalam bidang masing-masing.

Dr Amalina antara doktor yang terlibat dalam pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada mulut seorang bayi, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di sebuah hospital di London, United Kingdom pada 2019 dan kejayaan itu membanggakan Malaysia.

Dr Ahmad Syahid pula dikenali kerana berjaya mencipta konsep Nombor Fawzal (Fa) yang digunakan oleh pengeluar supercar dan hipercar terkemuka. Satu daripada hasil ciptaan pakar dinamik bendalir haba itu juga telah digunakan dalam kereta Ferrari jenis SF90 Stradale.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, satu agensi atau badan diaspora perlu diwujudkan kerajaan dan ia mestilah satu entiti kerajaan yang 'credible' manakala MPN boleh memberi input kepakaran dserta an idea untuk digandingkan.

Sebelum ini, Dr Ahmad Syahid yang merupakan Pakar Dinamik Bendalir dan Pemindahan Haba mengesyorkan satu badan diaspora diwujudkan kerajaan.

Katanya, TalentCorp telah menghubunginya bagi berkongsi pandangan mengenai perlunya badan tersebut sebagai langkah mengubah senario 'brain drain' kepada 'brain cycle'.