Malaysia catat 57.8 juta serangan virus siber pada suku pertama

Trend serangan siber merekodkan peningkatan di Malaysia. - Gambar hiasan
Trend serangan siber merekodkan peningkatan di Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan 57.8 juta serangan virus pada suku pertama 2022 yang menyumbang 1.14 peratus daripada jumlah serangan siber di seluruh dunia, demikian menurut Fortinet.

Pakar strategi keselamatan Fortiguard Labs Fortinet, Jonas Walker berkata, pengesanan botnet di negara ini berjumlah 57.2 juta, menyumbang 1.19 peratus daripada ancaman global.

Sementara itu, pengesanan eksploit pada suku pertama 2022 di Malaysia merekodkan 3.96 bilion serangan atau 0.95 peratus daripada jumlah pengesanan global.

"Serangan virus adalah umpama satu fail yang perlu dijalankan di laman sesawang atau dimuat turun ke dalam sistem anda, manakala eksploit hanyalah arahan mudah yang boleh digunakan terhadap sistem yang dihubungkan kepada Internet.

"Botnet merupakan serangan peirisian hasad yang sama seperti virus yang dipasang ke dalam sistem dan menunggu arahan atau pelayan kawalan untuk menghantar tindakan tertentu,” katanya pada taklimat media, pada Selasa.

Menurut Walker, trend serangan siber merekodkan peningkatan di Malaysia memandangkan pelaku ancaman itu mengimbas secara berterusan dan membuat penyesuaian pantas terhadap perkembangan terkini di seluruh dunia.

"Mereka memantau rapat apa yang berlaku di dunia nyata yang mungkin anda minati, dan cuba menyertakan maklumat ini dalam kempen memancing data demi meraih perhatian anda,” tambahnya.

Fortinet, peneraju global dalam penyelesaian keselamatan siber yang menyeluruh, bersepadu dan automatik melancarkan dapatan Asia bagi Laporan Jurang Kemahiran Keselamatan Siber 2022 hari ini, yang mendedahkan kekurangan kemahiran dalam organisasi di seluruh benua ini.

Naib Presiden Pemasaran dan Telekomunikasi Fortinet Asia, Rashish Pandey berkata tinjauan di Asia Tenggara dan Hong Kong mendapati 71 peratus daripada syarikat yang mengambil bahagian, berdepan kesukaran untuk menggajikan bakat berkelulusan teknologi dalam keselamatan siber.

"Sebanyak 63 peratus daripada mereka bersetuju bahawa kekurangan kemahiran menyebabkan impak keselamatan siber yang buruk ke atas perniagaan,” katanya.

Laporan itu yang membuat tinjauan terhadap pembuat keputusan IT dan keselamatan siber merentasi negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Filipina dan Indonesia menyarankan kaedah menangani jurang kemahiran melalui latihan dan pensijilan bagi meningkatkan pendidikan pekerja.

Pandey berkata, Fortinet komited untuk menyelesaikan jurang kemahiran itu dan berikrar untuk melatih sejuta profesional menjelang 2026 melalui penubuhan program Agenda Kemajuan Latihan dan Institut Latihan Fortinet. - Bernama