KPLB yakin dapat atasi krisis makanan negara

Antara penerima bantuan sempena Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Antara penerima bantuan sempena Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yakin dapat mengatasi krisis makanan negara melalui usaha mengembangkan industri penternakan membabitkan lembu dan ayam.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha yang digerakkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Berhad itu diharapkan memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara akan terus kekal.

Menurutnya, sebanyak RM60 juta diperuntukkan bagi membesarkan penternakan lembu yang dilaksanakan menerusi Felcra Berhad manakala RM20 juta bagi mengembangkan penternakan ayam melalui RISDA.

"Sasaran kita sebenarnya memerlukan tambahan lebih kurang 600,000 ekor ayam dalam tempoh 35 hari manakala sasaran tambahan penternakan lembu yang diperlukan ialah 10,000 ekor setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda di Desa Keda Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, pada Selasa.

Jelasnya, usaha yang dilaksanakan KPLB sekurang-kurangnya membantu menjamin sekuriti makanan sekali gus menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan krisis makanan negara dapat diatasi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, KPLB memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk menjamin bekalan makanan dan sekuriti makanan negara agar terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Abdul Rahman menyampaikan bantuan kepada penerima bantuan peralatan dan WarungDesa@KPLB sempena Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan di Keda Tepi Sungai Kota Kuala Muda pada Selasa.
Abdul Rahman menyampaikan bantuan kepada penerima bantuan peralatan dan WarungDesa@KPLB sempena Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan di Keda Tepi Sungai Kota Kuala Muda pada Selasa.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, KPLB menerusi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) turut menumpukan kepada projek ekonomi berasaskan perusahaan sumber asas tani, perniagaan kecil-kecilan, perkhidmatan dan aktiviti pertanian, perikanan serta penternakan.

Menurutnya, bantuan PPP diberikan dalam pelbagai bentuk antaranya mesin, peralatan, bahan mentah, premis, bengkel, ruang niaga, kos operasi permulaan dan bimbingan bagi masyarakat B40 luar bandar.

"Hari ini, KPLB menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) telah menyerahkan WarungDesa@KPLB dan peralatan perniagaan kepada 21 usahawan membabitkan peruntukan RM196,417.

"Sehingga Jun 2022, seramai 135 orang telah menerima WarungDesa@KPLB di seluruh negara daripada jumlah keseluruhan 950 orang sasaran peserta PPP," katanya.

Abdul Rahman turut menyampaikan bakul makanan kepada 96 penduduk Desa Keda Tepi Sungai, Kuala Muda bagi meringankan beban keluarga.