Vista Alam jadi perintis komuniti bebas plastik sekali guna

Pemilihan Vista Alam merupakan gerak kerja di bawah Projek Tindakan Kolaborasi Terhadap Pencegahan Penggunaan Plastik Sekali Guna di Asia Tenggara melalui kerjasama Malaysia dan Jerman. (Gambar kecil :) Shahrin Ahmad
Pemilihan Vista Alam merupakan gerak kerja di bawah Projek Tindakan Kolaborasi Terhadap Pencegahan Penggunaan Plastik Sekali Guna di Asia Tenggara melalui kerjasama Malaysia dan Jerman. (Gambar kecil :) Shahrin Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadikan Apartment Vista Alam, Seksyen 14 di sini sebagai perintis kawasan Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna berkuat kuasa 15 Jun ini.

Justeru, penghuni dan peniaga perlu mematuhi larangan menggunakan beg plastik sekali guna, tidak menggunakan bekas makanan dan minuman plastik atau alatan pakai buang plastik.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, premis perniagaan juga dikehendaki menyediakan beg boleh guna semula, beg kertas atau beg boleh urai kepada orang awam.

“Orang awam pula digalakkan membawa beg boleh guna semula dari rumah ketika membeli-belah dan membawa bekas serta alatan makanan dan minuman sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pemilihan Vista Alam merupakan gerak kerja di bawah Projek Tindakan Kolaborasi Terhadap Pencegahan Penggunaan Plastik Sekali Guna di Asia Tenggara melalui kerjasama Malaysia dan Jerman.

Beliau menambah, projek tersebut juga menjadi landasan bagi mendidik dan menyedarkan masyarakat berhubung kesan jangka panjang penggunaan bahan itu kepada alam sekitar.

“Oleh itu, MBSA berharap projek ini menjadi projek perintis kepada kawasan lain di Shah Alam bagi mengawal penggunaan plastik sekali guna,” katanya.