OKU maut dilanggar: Anak sulung ganti ibu, ayah jaga adik

Asrin (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Saeed di Kampung Tambak Bugid pada Selasa.
Asrin (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Saeed di Kampung Tambak Bugid pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Anak sulung kepada pasangan orang kurang upaya (OKU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Serkam Pantai, Merlimau pada Isnin nekad tidak akan berpisah dengan adik-beradiknya.

Saeed Ezuddin, 22, yang baharu menamatkan pengajian di Politeknik Merlimau Melaka berkata, dia bersedia menggalas tanggungjawab menjaga empat adik yang masih bersekolah.

Saeed juga bersyukur apabila adik bongsunya, Muhd Naufal Ezuddin,10, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pernu, reda dengan pemergian orang tua mereka sekelip mata dalam kejadian tragis itu.

"Semalam (Isnin) saya menerangkan pada (Naufal) dan lega dengan jawapannya yang dia sudah lepaskan jika ALLAH SWT mengambil ibu dan ayah.

"Saya tidak akan berpisah dengan adik-adik dan bersyukur dikelilingi sanak saudara yang sentiasa mengambil berat," katanya ketika dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Tambak Bugis di sini, pada Selasa.

Hadir sama Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Santos Bukarok dan Pegawai Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Asrin Salkin.

Saeed dan adik-beradiknya kini tinggal bersama bapa saudara dan nenek yang terlantar sakit.

Dia yang kini bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yakin mampu menyara keluarga.

Saeed juga tidak melupakan hasrat untuk menyambung pengajiannya tetapi lebih penting ketika ini ialah memberi sepenuh perhatian kepada adik-adik yang masih kecil.

"Walaupun kami sudah tidak ada ibu bapa namun masih ada saudara mara untuk kami menumpang kasih," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa Ezuddin Mohammad 50, dan isteri yang bekerja sebagai operator kilang, Surayah Muhamat,48, dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke arah Merlimau.

Sementara itu, Santos berkata, pihaknya menyalurkan bantuan segera berjumlah RM300 kepada Saeed sebagai ketua keluarga itu.

Menurutnya, dalam masa sama akan mempertimbangkan bantuan kanak-kanak sebanyak RM450 sebulan kepada tiga lagi anak mangsa yang masih bersekolah berusia 10 hingga 16 tahun.

Seorang lagi berusia 12 tinggal bersama keluarga angkat yang juga merupakan saudara mereka.

Selain itu turut akan dipertimbangkan bantuan penjagaan pesakit terlantar RM500 untuk nenek mereka berusia 80 tahun akibat terjatuh di bilik air.

"Kita akan memproses permohonan ini dengan kadar segara bagi meringankan beban Saeed yang kini menggalas tanggungjawab menyara keluarga," katanya.

Tambahnya, JKM juga memberikan sesi kaunseling kepada anak-anak mangsa bagi memulihkan emosi mereka yang kehilangan kedua ibu bapa.