Isu jenaka rogol: 75 MP desak Jabatan Peguam Negara tarik balik pembelaan

Tangkap layar Twitter milik Ain Husniza berhubung jenaka rogol di dalam kelas.
Tangkap layar Twitter milik Ain Husniza berhubung jenaka rogol di dalam kelas.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 75 ahli Parlimen mendesak agar keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengarahkan seorang peguam kanan persekutuan membela guru dan bekas guru besar dalam saman balas yang difailkan oleh Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab berhubung jenaka rogol di dalam kelas ditarik balik.

Menurut mereka, keputusan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara itu adalah amat memeranjatkan.

“Pelantikan seorang peguam kanan persekutuan dalam tindakan sivil persendirian yang dimulakan oleh guru terlibat hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi persepsi yang negatif terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan.

“Kes Ain sebenarnya telah mencetuskan lebih kebimbangan dan kegentaran dalam kalangan ibu bapa serta pelajar-pelajar di sekolah-sekolah kita, di samping menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pendidikan kita.

“Selain itu, dana pembayar cukai haruslah digunakan sewajarnya,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Antara ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan bersama ini ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini, media melaporkan Ain Husniza dan bapanya membantah tindakan peguam kerajaan mewakili dua individu yang disaman dan saman balas atas kapasiti peribadi, yang disifatkan mereka sebagai langsung tidak boleh diterima.

Dalam pada itu, tambah 75 ahli Parlimen ini, kerajaan Keluarga Malaysia khususnya Jabatan Peguam Negara dan KPM haruslah bersikap berkecuali dalam pertikaian terbabit.

“Jabatan Peguam Negara adalah pembela kepentingan orang awam. Ia tidak patut berpihak dalam kes persendirian yang sensitif seperti ini tetapi haruslah hanya membela kes yang melibatkan entiti kerajaan sahaja.

“Jabatan Peguam Negara sebagai penggubal Rang Undang-undang Gangguan Seksual seharusnya lebih peka terhadap kes seperti ini,” tegas mereka.

Menurut mereka, fokus kerajaan seharusnya diletakkan kepada usaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di sekolah seluruh negara.

“Kami menegaskan bahawa bidang perguruan mesti dihormati terutama dalam usaha mendidik dan membimbing masa depan anak-anak kita.

“Namun, institusi-institusi pendidikan perlu memberi penegasan bahawa sindiran seksual dan jenaka mengenai rogol, terutama terhadap remaja perempuan, tidak boleh diterima sama sekali,” ujar mereka.