Tiada perbincangan kerjasama dengan Warisan: PBS

Datuk Johnny Mositun
Datuk Johnny Mositun
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) belum mengadakan perbincangan berkenaan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun berkata, walaupun Warisan sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PBS, namun setakat ini tiada perbincangan mengenai perkara itu.

"Perkara biasa bagi mana-mana parti politik termasuk daripada blok pembangkang yang mengamalkan dasar buka pintu mengenai kerjasama politik.

“Dalam politik, tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang kekal, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Setakat yang saya tahu tiada perbincangan mengenainya setakat ini. Ia sekadar cakap-cakap ahli politik yang bukan dalam kalangan PBS," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bahawa Warisan sedia untuk bekerjasama dengan parti tempatan terutama daripada PBS.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata demikian secara terbuka ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan di Dewan Kadamaian Square, Kota Belud pada Ahad lalu.