Warisan terbuka bekerjasama dengan PBS

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan di Dewan Kadamaian Square di sini pada Ahad.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan di Dewan Kadamaian Square di sini pada Ahad.
A
A
A

KOTA BELUD - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terbuka untuk kerjasama dengan parti tempatan terutama daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau mengakui perlu mendengar suara di pihak akar umbi yang mahukan gabungan dengan parti tempatan di negeri ini.

"Seperti saya nyatakan kena ada juga pihak-pihak di peringkat akar umbi bukan hanya suara dari luar, suara dari parti kita yang mana perlunya ada gabungan dengan parti tempatan dan antaranya yang saya lihat ialah PBS kerana saya kenal mereka.

"Saya tahu rakan-rakan kita dahulu, kita pun satu sekolah dengan Maximus (Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) dan saya juga menjadi menteri kabinet bersama beliau dahulu, di samping itu saya kenal sebahagian pimpinan di peringkat akar umbi.

"Saya rasa kalau itu menjadi satu pilihan, saya nyatakan dengan pimpinan Warisan tidak jadi masalah kalau PBS," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan di Dewan Kadamaian Square di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas ucapannya secara terbuka menyatakan mahu bekerjasama dengan PBS.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu menyatakan sekali lagi pendirian untuk mengukuhkan terlebih dahulu partinya dan menyerahkan keputusan kepada PBS sama ada ingin bekerjasama atau sebaliknya.

"Saya sudah keluarkan kenyataan, tetapi setakat ini saya mahu bina 'rumah' kita dulu, kuatkan rumah kita dulu dan untuk tempatan, saya tidak kisah sama ada PBS mahu, kalau dia tidak mahu itu terserah dengan mereka," katanya.