Kes HFMD di Kedah menurun 33 peratus

Lima wabak baharu dilaporkan melibatkan taska dan tadika. (Gambar kecil: Dr Mohd Hayati)
Lima wabak baharu dilaporkan melibatkan taska dan tadika. (Gambar kecil: Dr Mohd Hayati)
A
A
A

ALOR SETAR – Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah menurun sebanyak 33 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 berbanding minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memberitahu, sebanyak 789 kes baharu HFMD dikesan dalam tempoh 29 Mei hingga 4 Jun berbanding 1,178 kes sebelum ini.

Menurutnya, jumlah kes direkodkan menunjukkan penurunan 389 kes atau 33 peratus, yang mana semua kes dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar.

“Lima wabak baharu dilaporkan melibatkan taska dan tadika, bagaimanapun kesemua premis terlibat telah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jumlah keseluruhan kes HFMD direkodkan di Kedah pada tahun ini sehingga 4 Jun 2022 adalah sebanyak 4,192 kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak 3,399 kes atau 429 peratus berbanding sebelum pandemik pada tempoh sama pada 2019.

“Sepanjang tahun 2022, Daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 946 kes atau 22.6 peratus diikuti oleh Kubang Pasu dengan 625 kes (14.9 peratus), Kulim dengan 588 kes (14.0 peratus) dan Kota Setar dengan 446 (10.6 peratus),” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 50 wabak HFMD telah dilaporkan di negeri Kedah, dengan 49 daripadanya ataupun 98 peratus berlaku di pusat Pendidikan seperti taska, tadika dan prasekolah.

Bagaimanapun, Dr Mohd Hayati memberitahu, premis berkenaan telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan pencegahan jangkitan.

Dalam perkembangan sama, katanya, penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

“Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan seperti demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

“Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh ke 10 hari. Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti jangkitan otak, jangkitan paru-paru dan jangkitan otot jantung," ujarnya.

Dengan perkembangan sama, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ingin menasihatkan orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

“Bagi pengusaha dan pengurusan pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak digesa melakukan pemeriksaan atau saringan di pintu masuk sehingga nyah kuman pada permukaan yang tercemar di pusat terbabit,” katanya.