Pemain Kelantan United terpalit kes rogol direhatkan

Suspek (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi mendapatkan perintah tahanan reman sebelum ini. - Foto fail
Suspek (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi mendapatkan perintah tahanan reman sebelum ini. - Foto fail
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemain bola sepak liga tanah air yang terpalit dengan kes rogol seorang gadis pada Mei lalu direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier.

Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, keputusan merehatkan pemain berusia 28 tahun terbabit berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Katanya, pasukan itu turut mengesahkan isu rogol terbabit bersabit dengan pemain mereka dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.

“Pasukan menunggu laporan penuh berhubung kes berkenaan dan sentiasa mengutamakan undang-undang negara.

“Pihak pengurusan pasukan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak dalam pasukan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, pihaknya juga akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak sekiranya pemain tersebut dibuktikan bersalah.

“Pasukan juga berpegang kepada prinsip, ‘seseorang itu masih tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah’.

“Buat masa ini, pemain tersebut direhatkan dahulu daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga tempoh dimaklumkan kelak,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian, polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan, di Kota Bharu pada 29 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan suspek berusia 28 tahun itu, dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.