Lelaki maut motosikal langgar belakang lori, isteri parah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Gula berhampiran Kampung Lian Seng di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, S Muraly, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, laporan kemalangan maut diterima melibatkan sebuah motosikal dan lori.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal yang dinaiki mereka menghala ke Kuala Gula.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai mangsa telah gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori di hadapannya yang sedang membelok ke simpang di sebelah kanan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pembonceng merupakan isteri mangsa berusia 53 tahun mengalami patah tangan kiri.

"Wanita terbabit telah dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

"Pemandu lori berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.