Wanita ditahan bantu siasatan sindiket jual bayi di Rawang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita tempatan berumur 58 tahun yang dipercayai pengendali pusat jagaan gadis terlanjur di Rawang semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terlibat dengan sindiket penjualan bayi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C), Bukit Aman, Datuk Maszely Minhad berkata suspek ditahan ketika hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Selangor pukul 4 petang semalam.

"Pihak polis juga telah menyelamatkan dua orang wanita masing-masing berusia 22 dan 18 tahun yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan tersebut di bawah Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) ke atas kedua-dua mangsa juga telah dibenarkan selama 21 hari oleh Majistret Mahkamah Selayang hari ini dan mangsa akan ditempatkan di Rumah Pelindungan Wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perundangan Dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Ahmad Rashid berkata suspek telah menyerahkan surat perakuan pendaftaran yang membolehkan pusat itu beroperasi kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Bila surat perakuan pendaftaran itu telah diserahkan bermaksud pengendalinya itu berhasrat untuk menutup pusat jagaan tersebut dan pihak kami akan membuat laporan untuk dihantar ke ibu pejabat bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi Yayasan Chow Kit, Ananti Raj mewakili badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengendalikan kes-kes berkaitan masalah sosial remaja serta kes sindiket pemerdagangan bayi meminta kementerian yang terbabit agar menyertakan pandangan daripada NGO untuk merangka penyelesaian terbaik mengekang gejala itu.

"Kali ini, kami mahu kerajaan turut menyertakan pandangan dan cadangan daripada NGO bagi mendapatkan solusi kepada sindiket pemerdagangan bayi ini agar tidak berlaku lagi nanti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Hannah Yeoh menyatakan pihaknya akan berkerjasama dengan JKM bagi meneliti semula undang-undang pengambilan anak angkat agar lebih bersih dan cekap untuk mengelak perkara yang sama daripada berulang. -Bernama

Artikel Berkaitan: