Anak kerat ibu direman empat hari

Mayat mendiang telah dituntut oleh waris sekitar jam 3 petang pada Ahad di Jabatan Forensik, HRPB.
Mayat mendiang telah dituntut oleh waris sekitar jam 3 petang pada Ahad di Jabatan Forensik, HRPB.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki yang disyaki mengerat tubuh ibunya kepada 15 bahagian dalam kejadian di Taman Kerian, Parit Buntar pada Sabtu, direman selama empat hari.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 42 tahun itu direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa yang berusia 68 tahun itu disebabkan luka tetak dan potong di pelbagai bahagian badan.

"Tubuh mangsa telah dipotong hingga putus kepada 15 bahagian termasuk kepala, tangan, kaki dan organ badan yang lain.

"Mangsa juga dipercayai mati pada hari kejadian iaitu 28 Mei lalu akibat ditetak dan dipotong," katanya di sini pada Ahad.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, enggan ditemu bual.

Mayat mendiang telah dituntut oleh waris sekitar jam 3 petang sebelum dibawa pulang semula ke Parit Buntar untuk disemadikan.

Sebelum ini, media melaporkan suspek dipercayai mempunyai masalah mental telah bertindak kejam akibat rasa tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapanya yang telah meninggal dunia 12 tahun lalu.

Wanita berkenaan dilaporkan hilang oleh salah seorang anaknya pada Sabtu minggu lalu selepas dimaklumkan suspek bahawa ibunya keluar dan masih tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, bau busuk luar biasa membawa kepada penemuan anggota badan mangsa di saluran lubang najis di belakang rumah tersebut.