Ibu dikerat 15, dibuang dalam tangki kumbahan

No Image Caption
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan potongan daging dipercayai anggota badan manusia kira-kira jam 3.30 petang pada Sabtu.

"Siasatan yang dijalankan menemukan 15 keratan bahagian tubuh mayat yang telah dipotong.

"Susulan itu, tangkapan dilakukan terhadap anak lelaki mangsa berusia 42 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa berusia 68 tahun tinggal berdua bersama suspek di rumah tersebut sejak 12 tahun lalu.

"Hasil siasatan awal, kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.

"Polis merampas sebilah parang, dua pisau dan barang-barang yang digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.