DBKL alih semula dewan kegunaan orang ramai

Salah seorang pengurus dewan menyerahkan kunci kepada Dr Shahruddin sambil diperhatikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kanan), hari ini.
Salah seorang pengurus dewan menyerahkan kunci kepada Dr Shahruddin sambil diperhatikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kanan), hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak mengambil alih semula dewan kegunaan orang ramai yang sebelum ini diuruskan pihak tertentu yang turut mempunyai unsur demi kepentingan masing-masing.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, berkata, sebanyak 119 notis dikeluarkan terhadap pihak terbabit berhubung tindakan berkenaan sejak Disember hingga Februari lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya 69 pengurusan dewan bersetuju menyerah balik kepada DBKL.

“Semua dewan ini dibina atas tanah milik kerajaan. Ia perlu diambil semula DBKL untuk diurus selia dalam tempoh sementara sebelum diserahkan kepada persatuan yang berminat dan berwibawa untuk menguruskannya.

“Tindakan terhadap baki dewan yang masih enggan diserahkan akan ditentukan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad,” katanya ditemui selepas Majlis Pengambilalihan Dewan oleh DBKL di sini, hari ini.

Dr Shahruddin berkata, melalui pengambilalihan itu, banyak perkara akan diteliti termasuk pemeriksaan dan pembaikian struktur bangunan, plan perancang, status kegunaan tanah dan mengadakan satu bentuk pengurusan dewan yang akan memberi kesaksamaan penggunaan oleh penduduk setempat.

“Pembinaan dewan-dewan ini pada suatu ketika dulu berdasarkan keperluan mendesak yang dipohon persatuan penduduk setempat atau agensi kerajaan yang lain untuk menjalankan aktiviti atau program. Jadi terdapat pembinaan yang tidak menepati perancangan dan juga kesesuaian tanah.

“Terdapat juga penyalahgunaan oleh segelintir pengurusan yang memberi keutamaan kepada kumpulan tertentu untuk gunakan dewan, menjadikan markas aktiviti tidak sihat dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai 36 pengurus dewan dari lapan parlimen di ibu negara hadir menyerahkan kunci dewan kepada DBKL.