PBAKL: 1,000 judul buku menanti di reruai Karangkraf

Antara pengunjung di reruai Karangkraf di PBAKL yang diadakan di WTCKL pada Sabtu. (Gambar kecil: Roziana)
Antara pengunjung di reruai Karangkraf di PBAKL yang diadakan di WTCKL pada Sabtu. (Gambar kecil: Roziana)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf menawarkan hampir 1,000 judul buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-39 yang bermula pada Jumaat.

Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziana Omar berkata, pelbagai kategori buku boleh didapati termasuk novel, al-Quran, buku Islamik dan buku kanak-kanak.

Beliau berkata, selain menampilkan beberapa buku baharu, pengunjung di ruang jualan Karangkraf turut ditawarkan dengan koleksi buku sedia ada pada harga diskaun sehingga 30 peratus.

“Datanglah bersama keluarga kerana banyak jenis buku dengan peringkat umur boleh didapati di reruai kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di reruai Karangkraf di PBAKL, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Roziana berkata, dalam tempoh dua hari penganjuran PBAKL, tiga buku yang mendapat sambutan pengunjung berjudul Di Sebalik Nama oleh Datuk Seri Nazir Razak, 30 Teknik Tepat Tadabbur al-Quran dan Nota My #hadis Time.

Lebih 30 jenis al-Quran untuk pelbagai golongan pembaca

Sementara itu, Editor al-Quran Karya Bestari Karangkraf, Khairul Naim Mansor berkata, terdapat lebih 30 jenis al-Quran terbitan Karangkraf dijual pada jualan kali ini.

Menurut beliau, selain al-Quran terjemahan, terdapat juga al-Quran yang dilengkapi dengan pelbagai ciri seperti penandaan atau 'tagging' bagi memudahkan rujukan pelbagai jenis pembaca.

“Contohnya, Quran Amazing sesuai untuk rujukan seisi rumah dan boleh digunakan oleh ketua keluarga untuk memimpin bacaan al-Quran.

“Kita juga ada al-Quran yang memberikan fokus untuk rujukan wanita Muslim kerana ada doa terpilih serta huraian yang sesuai,” ujarnya.

Khairul berkata, Karangkraf turut menawarkan harga promosi bagi jualan set al-Quran bersaiz A3 sempena PBAKL kali ini.

“Harga biasa untuk set ini yang juga dikenali sebagai Pakej al Iman yang turut dilengkapi dengan ‘stand’, beg dan sejadah ialah RM234 tapi pada PBAKL kali ini, set ini dijual pada harga RM179,” katanya.

Lengkapkan koleksi al-Quran dalam perpustakaan peribadi

Sementara itu, seorang penjawat awam dari Cheras, Selangor, Wan Kozil Wan Ahmad, 60, berkata, beliau hadir ke PBAKL kali ini antara lain bagi melengkapkan koleksi buku Nota MyQuran Time terbitan Karangkraf.

“Di rumah juga saya sudah kumpul Tafsir al-Azhar oleh Hamka, Tafsir Fil Zilalil Quran dan Tafsir Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.

Wan Kozil menunjukkan buku yang dibeli di reruai Karangkraf di PBAKL yang diadakan di WTCKL pada Sabtu.
Wan Kozil menunjukkan buku yang dibeli di reruai Karangkraf di PBAKL yang diadakan di WTCKL pada Sabtu.

Wan Kozil yang kini sudah mengumpul lebih 1,000 buku dalam perpustakaan peribadi di rumahnya bersyukur kerana penganjuran PBAKL kali ini memberi peluang untuk mendapatkan lebih banyak buku bagi memenuhkan lagi perpustakaan peribadinya.

Seorang lagi penjawat awam dari Jasin, Melaka, Mohd Afiq Mazly, 36, tidak kisah untuk berjalan jauh termasuk menempuh kesesakan jalan raya pada hujung minggu di ibu kota semata-mata untuk mendapatkan buku di PBAKL tahun ini.

Katanya, pesta buku itu memberikan peluang kepada keluarganya mendapatkan buku yang diingini.

“Kita memang menunggu penganjuran PBAKL kali ini. Seronok dapat jalan-jalan dan anak-anak pun dapat cari buku ilmiah yang diperlukan untuk pelajaran mereka,” ujarnya.

Ibu bapa turut membawa anak-anak bagi mendapatkan buku di reruai Karangkraf di PBAKL yang diadakan di WTCKL pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Afiq)
Ibu bapa turut membawa anak-anak bagi mendapatkan buku di reruai Karangkraf di PBAKL yang diadakan di WTCKL pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Afiq)

Mohd Afiq juga tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai Karangkraf bagi melengkapkan koleksi buku fiksyen tulisan penulis terkenal Ramlee Awang Murshid.

“Tidak semua judul novel Ramlee Awang Murshid ada di kedai buku tetapi di sini kita boleh mendapatkan semua judul yang dikehendaki,” ujarnya.

Bagi pelajar dari Dengkil, Muhammad Fahim Ab Ghapar, 18, tawaran buku fiksyen ditawarkan di reruai Karangkraf sangat menarik dan pelbagai.

“Dari novel seram sampai romantik, semua ada. Promosi ditawarkan juga sangat menarik,” ujarnya yang merupakan peminat novel romantik dan sains fiksyen.

Buku 'Di Sebalik Nama' oleh Nazir menjadi antara judul yang mendapat sambutan pengunjung di PBAKL yang diadakan di WTCKL. (Gambar kecil: Muhammad Fahim)
Buku 'Di Sebalik Nama' oleh Nazir menjadi antara judul yang mendapat sambutan pengunjung di PBAKL yang diadakan di WTCKL. (Gambar kecil: Muhammad Fahim)

PBAKL tahun ini yang diadakan di WTCKL dibuka setiap hari sehingga 12 Jun depan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ia menampilkan lebih daripada 100 pempamer yang terdiri daripada penerbit, pengedar dan kedai buku dari dalam dan luar negara.