ROHM-Wako Electronics tawar 3,000 peluang pekerjaan baharu di Kelantan

Mohd Amar (tengah) semasa merasmikan Festival Kelantan Jepun 2022 di pasar raya Mydin, Kota Bharu pada Sabtu.
Mohd Amar (tengah) semasa merasmikan Festival Kelantan Jepun 2022 di pasar raya Mydin, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembesaran operasi kilang ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd di Pengkalan Chepa di sini menawarkan 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, setakat ini, seramai 2,000 pekerja baharu telah mendapat manfaat daripada pembesaran operasi kilang yang menelan belanja berjumlah RM910 juta itu.

"Usaha ROHM-Wako ini menambah keyakinan kepada pihak luar untuk menjadikan Kelantan sebagai salah satu lokasi pelaburan di sini," katanya selepas merasmikan Festival Kelantan Jepun 2022 di pasar raya Mydin di sini pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan itu secara tidak langsung merancakkan lagi perkembangan ekonomi di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun mempunyai cawangan di Indonesia dan Eropah, namun ROHM-Wako di Kelantan adalah salah satu kilang terbaik di dunia.

Mohd Amar berkata, projek tersebut menjadi mercu tanda akrabnya hubungan antara Kelantan dan Jepun.

"Keakraban hubungan itu diterjemahkan apabila syarikat berkenaan memutuskan untuk terus bertapak di negeri ini walaupun pernah membuat keputusan berhijrah keluar.

"Hasil hubungan kukuh ini, syarikat berkenaan memilih untuk membesarkan lagi operasi dengan menambah bilangan bangunan kilang berkenaan," katanya.