HFMD: Perlis rekod 1,174 kes setakat Jumaat

 Sebanyak 1,174 kes HFMD dilaporkan di Perlis sejak awal Januari hingga Jumaat. - Gambar hiasan
Sebanyak 1,174 kes HFMD dilaporkan di Perlis sejak awal Januari hingga Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Sebanyak 1,174 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Perlis sejak awal Januari hingga Jumaat, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim.

Beliau berkata, bagi minggu epid (ME) ke-22 iaitu dari 29 Jun hingga Sabtu, negeri itu merekodkan 238 kes dengan tiga lokaliti wabak dikenal pasti masih aktif melibatkan dua taska dan satu tabika.

"Secara umumnya HFMD di Perlis masih tinggi namun dalam keadaan terkawal, jadi masyarakat tidak perlu bimbang kerana apa yang penting patuh kepada nasihat kesihatan yang kami keluarkan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Mychampion Peringkat Negeri Perlis di Auditorium Datuk Dr Syed Mahmood Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) di sini pada Sabtu.

Dr Sirajuddin berkata, pihaknya juga telah bekerjasama dengan pengusaha taska dan tabika bagi memberi nasihat berhubung kaedah pencegahan wabak berkenaan.

"Mereka disaran menjalankan saringan kepada anak-anak yang dibawa ke taska atau tabika sebagai langkah pencegahan di samping sentiasa memastikan penjagaan kebersihan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini Perlis tidak menghadapi sebarang masalah berhubung kekurangan bekalan ubat di hospital, klinik kesihatan atau farmasi susulan daripada penularan wabak HFMD.

"Tidak wujud sebarang pembelian panik membabitkan ubat-ubatan seperti ubat demam, selesema serta alahan dan bekalan di negeri ini juga mencukupi," katanya.

Mengulas mengenai program Mychampion Peringkat Negeri Perlis, Dr Sirajuddin berkata, JKNPs amat menghargai penglibatan sukarelawan yang bergerak aktif di pelbagai kementerian atau agensi bagi bersama-sama menyokong inisiatif mempromosikan kesihatan dan pemerkasaan komuniti.

Katanya, sukarelawan menerusi inisiatif Mychampion akan dilatih dan diperkasa dalam aspek kesihatan merangkumi budaya hidup sihat, amalan norma baharu serta kawalan kesihatan kendiri.

"Sukarelawan merentas agensi ini dapat membantu JKNPs sebagai pemangkin perubahan tingkah laku kesihatan secara bersepadu, terancang dan menyeluruh bagi memastikan aktiviti berkaitan kesihatan dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya. - Bernama