Kes HFMD meningkat 20 kali ganda

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 47,209 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) direkodkan setakat 21 Mei tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 yang hanya mencatatkan 2,237 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 20/2022 adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 106.6 peratus.

Menurutnya, peningkatan kes pada ME 20 telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya.

"Pada tahun 2022, sehingga 21 Mei, negeri Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 13,640 kes (28.9 peratus).

"Ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus).

"Sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022 adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

"Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat dua kes HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis). Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak berumur bawah 6 tahun," katanya.

Jelas beliau lagi, sehingga kini, sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WPKL dan Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4 peratus), diikuti Selangor 143 wabak (12.2 peratus) dan Perak 130 wabak (11.1 peratus)

Katanya, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

"Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 711 wabak (61 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 407 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 42 wabak (3 peratus)," katanya.

Pada masa sama, menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD di seluruh Malaysia meliputi sejumlah 5,214 premis yang diperiksa.

Katanya, sejumlah 138 premis telah ditutup di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala 41 premis ditutup secara sukarela.

"Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah turut menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan pra-sekolah, sejak minggu epid 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri.

"Sesi dibuat dalam bentuk sesi townhall, webinar, taklimat dan tunjuk cara terutama berkaitan proses disinfeksi," katanya.