RM5.034 bilion bangunkan sekolah, institusi pendidikan

Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada majlis perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada majlis perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.034 bilion bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu dilakukan bagi menjamin masa depan pendidikan Keluarga Malaysia.

"Kerajaan menyedari pentingnya pendidikan kepada masa depan Keluarga Malaysia, dan peruntukan sebanyak RM5.034 bilion disediakan bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Malaysia bawah Rolling Plan Kedua RMK12 tahun ini," katanya ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dijalankan di Terengganu dengan kos keseluruhan RM914.79 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek berstatus prabina.

"Bagi projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif pula, sebanyak 26 projek telah diluluskan dalam tempoh 2017-2022 dengan kos sebanyak RM60.93 juta.

"Setakat ini, 21 projek telah siap manakala baki sebanyak lima projek dalam peringkat prabina," katanya.

Menyentuh mengenai sektor kesihatan, Ismail Sabri berkata, projek Hospital Dungun dengan kapasiti 110 buah katil yang lengkap dengan peralatan perubatan dan projek High Dependency Ward Hospital di Besut merangkumi lima katil terbuka, sebuah katil bilik isolasi dan enam zon utama dijangka siap dibina pada tahun ini.

Katanya, lima lagi projek dijangka siap tahun depan melibatkan pembinaan Hospital Kemaman setinggi sembilan tingkat dengan kapasiti 300 katil; klinik kesihatan di Kampung Raja, Besut; kerja-kerja menaik taraf dan penggantian sistem lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu; Klinik Kesihatan di Rhu Sepuluh, Setiu dan pembinaan Klinik Kesihatan di Paya Datu, Kuala Terengganu.

Terengganu merupakan negeri keempat bagi siri JAKM selepas Johor, Perlis dan Sabah.