Korbankan tradisi lama jika mahu menang PRU15

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

ALOR SETAR - Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula pemilihan calon di kerusi boleh menang namun kalah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sebagai panduan merangka strategi baharu menghadapi PRU15.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU15, parti itu perlu mengorbankan tradisi lama yang dipraktikkan.

Menurutnya, naratif parti untuk mengekalkan calon berdasarkan kerusi tradisi sesebuah parti komponen perlu diperhalusi semula.

“Antara kriteria perlu diberikan perhatian adalah memastikan pemilihan calon sesuai dalam parti komponen yang mana peratusan kemenangannya melebihi rakan komponen lain.

“Antara sebab kekalahan BN pada PRU14 ialah ada parti-parti komponen yang tidak dapat menyumbang kemenangan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan penolakan pangundi terhadap calon mereka terutama daripada MCA,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mohd Yusof berharap kepimpinan tertinggi BN meneliti perkara tersebut secara lebih serius dengan meletakkan calon parti komponen yang mempunyai kelebihan untuk menang.

“Lihat kepada peratusan jumlah pengundi mengikut kaum di sesebuah kawasan.

“Sebagai contoh di Parlimen Alor Setar, pengundi Melayu melebihi 64 peratus, calon MCA sudah dua kali ditolak pengundi pada PRU13 dan PRU14, adalah wajar untuk UMNO pula diberi peluang bertanding di kerusi berkenaan bagi mewakili majoriti pengundi Melayu,” katanya.

Menurutnya, saranan itu bukan untuk menafikan kesetiaan atau komitmen MCA sebagai parti komponen BN, sebaliknya pendekatan lebih rasional perlu diberikan keutamaan agar kemenangan berpihak kepada BN.

“UMNO belum tentu kalah jika bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, namun MCA pasti kalah seperti yang berlaku di dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Sekiranya calon dari UMNO menang bermaksud BN menang, MCA juga akan menerima tempias kemenangan,” ujarnya.

Mohd Yusof menegaskan, satu rangka baharu dari segi pemilihan calon bertanding dan naratif yang lebih jitu perlu dirangka secepat mungkin bagi memastikan kemenangan BN.

“Saya setuju dengan kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada perasmian Konvensyen BN yang menyatakan untuk menyelamatkan Malaysia, BN perlu menang PRU15 dan membentuk kerajaan.

“Misi utama BN ketika ini adalah untuk memenangi PRU15 dengan majoriti yang menyakinkan supaya kita dapat menyelamatkan negara,” katanya.