Suri rumah jual air ketum ditahan

Sebanyak 150 bungkusan plastik dan sembilan tong mengandungi cecair disyaki air ketum dirampas dalam serbuan di Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru, Arau pada Khamis.
Sebanyak 150 bungkusan plastik dan sembilan tong mengandungi cecair disyaki air ketum dirampas dalam serbuan di Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru, Arau pada Khamis.
A
A
A

ARAU - Seorang suri rumah yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum sejak enam bulan lepas ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau kira-kira jam 4 petang.

Beliau memaklumkan, pihaknya menemui barang kes di atas lantai tandas bahagian dapur semasa tiba dan melakukan pemeriksaan di kediaman itu.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 150 bungkusan plastik cerah berikat getah setiap satu mengandungi cecair disyaki air ketum dianggarkan 45 liter telah dirampas.

"Selain itu, kita turut merampas sembilan botol plastik berpenutup setiap satunya mengandungi cecair disyaki air ketum dianggarkan 14 liter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Mohsin berkata, suspek yang merupakan isteri seorang pekerja buruh dan memiliki anak berusia empat tahun mengaku bahawa barangan terbabit adalah miliknya bagi aktiviti jual beli di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10, Tambun Tulang, dekat sini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati sebungkus cecair mengandungi air ketum dijual dengan harga RM4 dan sebotol dijual dengan harga RM10.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM690 iaitu 150 bungkusan plastik berikat getah bernilai RM600 dan sembilan botol plastik berpenutup bernilai RM90.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, suspek didapati memiliki satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Sehubungan itu, suspek ditahan reman selama tiga hari hingga 5 Jun untuk siasatan lanjut dan kes siasat mengikut akta sama," katanya.