Suruhanjaya Patuh Syariah jadikan Malaysia pusat rujukan dunia

Saranan menubuhkan Suruhanjaya Patuh Syariah oleh Perdana Menteri membolehkan Malaysia menjadi pusat rujukan dunia dalam melaksanakan tatacara pengendalian piawai pensijilan halal. Gambar kecil: Zakaria
Saranan menubuhkan Suruhanjaya Patuh Syariah oleh Perdana Menteri membolehkan Malaysia menjadi pusat rujukan dunia dalam melaksanakan tatacara pengendalian piawai pensijilan halal. Gambar kecil: Zakaria
A
A
A

SHAH ALAM - Saranan menubuhkan Suruhanjaya Patuh Syariah yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membolehkan Malaysia menjadi pusat rujukan dunia dalam melaksanakan tatacara pengendalian piawai pensijilan halal, yang tertakluk kepada sektor penghasilan makanan, pengurusan kewangan serta pengoperasian sesuatu industri.

Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan dibuat Ahli Parlimen Bera itu bagi mengawal selia sektor ekonomi halal dalam negara.

“Dengan penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah, aspek pematuhan syariah yang pada ketika ini dikawal selia oleh tiga entiti berbeza iaitu Bank Negara (kewangan Islam), Suruhanjaya Sekuriti (pelaburan) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (industri halal) akan dapat disatukan.

“Penggabungan ini sudah semestinya akan dapat menyelaraskan usaha bagi memperkembangkan lagi sektor ekonomi halal di Malaysia, yang mana aspek patuh syariah dapat dilaksanakan secara menyeluruh

“Secara tidak langsung, penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah ini turut akan meningkatkan lagi keupayaan Malaysia di peringkat antarabangsa untuk menjadi penyumbang kepada pasaran ekonomi halal global yang dijangka akan meningkat sehingga RM10 trilion pada tahun 2024,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Isnin, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kawal selia pelbagai sektor ekonomi halal dalam negara secara lebih komprehensif boleh disatukan melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, Pelan Induk Ekonomi Halal yang bakal dibangunkan oleh negara ini juga adalah satu elemen penting bagi merancang usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan ekonomi halal di Malaysia.

“Dengan adanya pelan ini, ia akan membolehkan pihak kerajaan, industri dan orang awam melihat perkembangan yang sedang berlaku dalam sektor ekonomi halal secara lebih teliti dan tepat.

“Semoga dengan wujudnya inisiatif baharu dalam usaha untuk memperkasakan ekonomi halal Malaysia ini akan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat muslim Malaysia dan antarabangsa terhadap produk-produk dan perkhidmatan patuh syariah yang datangnya dari negara kita,” ujarnya.