RM2,527,800 untuk 234 institusi pendidikan Islam di Negeri Sembilan

Aminuddin (tiga, kiri) menyerahkan replika cek kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sempena Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Sembilan 2022, pada Jumaat.
Aminuddin (tiga, kiri) menyerahkan replika cek kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sempena Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Sembilan 2022, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan sebanyak RM2,527,800 untuk 234 institusi pendidikan Islam di negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut bertambah berbanding peruntukan pada tahun lepas iaitu sebanyak RM2,484,520 untuk 203 institusi pendidikan Islam.

"Kesungguhan kerajaan negeri pada hari ini dalam memartabatkan pendidikan telah dibuktikan dengan pelaksanaan pelbagai bentuk inisiatif sejak tahun 2019 antaranya Program Fast Track Tahfiz iaitu program mengarusperdanakan pelajar tahfiz dalam sistem pendidikan negara melalui persiapan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya di Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Sembilan 2022 di sini, pada Jumaat.

Kata Aminuddin, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan Program Fast Track Tahfiz itu.

"Pemberian Bantuan Sekolah Tahfiz, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina(SJKC),Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Swasta turut diperkenalkan. Alhamdulillah, sejumlah RM7.5 juta telah diperuntukkan sejak pelaksanaanya pada tahun 2020.

"Beberapa peruntukan juga disalurkan kepada beberapa pertubuhan dan institusi pendidikan Islam melalui pejabat menteri besar termasuk peruntukan pembangunan untuk Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (Itqan) dan Maahad Ahmadi, Gemencheh serta beberapa program kolaboratif yang lain," katanya.

Aminuddin berkata, selain itu pihaknya menaik taraf Kompleks Sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi menjadi sebuah kompleks dengan pentadbiran tersendiri melibatkan kos sebanyak RM13 juta. Sekolah berkenaan dinaik taraf sebagai sebuah Sekolah Agama Berasrama Penuh dan beberapa projek pembangunan infra akan dilaksanakan.

"Diharap pemantapan institusi pendidikan Islam yang dinamik ini akan mampu melahirkan generasi Islam yang bukan sahaja beriman tetapi mampu berkembang dan berdakwah dalam menghadapi arus kemodenan serta urbanisasi," katanya.