Apungkan harga ayam: Penternak

Krisis bekalan ayam mentah yang berlaku di seluruh negara bukan sahaja menjejaskan para pengguna, malah mencetuskan polemik dalam kalangan penternak dan pembekal. (Gambar kecil dari kiri: Mazlina, Wooi Perng)
Krisis bekalan ayam mentah yang berlaku di seluruh negara bukan sahaja menjejaskan para pengguna, malah mencetuskan polemik dalam kalangan penternak dan pembekal. (Gambar kecil dari kiri: Mazlina, Wooi Perng)
A
A
A

SHAH ALAM - Krisis bekalan ayam mentah yang berlaku di seluruh negara bukan sahaja menjejaskan para pengguna, malah mencetuskan polemik dalam kalangan penternak dan pembekal.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan menyekat eksport bekalan ayam ke Singapura bagi membantu mengatasi isu kekurangan bekalan ayam mentah di Malaysia.

Bagi penternak, mereka memohon kerajaan mengapungkan harga ternakan itu selepas bayaran subsidi dihentikan kepada mereka bermula 1 Julai nanti.

Di ALOR SETAR, penternak yang juga pembekal ayam segar, Mazlina Kamarudin berkata, kemungkinan harga ayam akan naik sedikit pada awalnya, namun beransur pulih bergantung kepada permintaan dan penawaran sebagai penanda aras ketetapan harga ayam.

Menurutnya, apabila tiada harga kawalan ramai pengeluar akan kembali merancakkan industri, menyebabkan bekalan meningkat seterusnya dapat menstabilkan harga.

“Perkara itu memang sudah kami jangkakan, sebab semasa diberikan subsidi kerajaan maklum sehingga bulan Jun. Itu hak kerajaan. Kita bersedia, namun berharap kerajaan mengapungkan harga ayam.

“Harga kawalan RM8.90 memang tak balik modal dan tidak menguntungkan, penternak pula berdepan risiko seperti penyakit, ayam mati atau lambat membesar selain kos dedak. Sebelum ini penternak pernah mohon harga kawalan dinaikkan kepada RM9.90/kilogram,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Mazlina yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) berkata, pihaknya sudah lama menghantar tuntutan subsidi bagi ayam ternakannya namun sehingga kini belum menerima bayaran.

MAFI mendapati, bekalan ayam di pasar raya diseluruh negara stabil dan tidak berlakunya kekurangan ketara sejak 10 hari lalu. - Foto Bernama
MAFI mendapati, bekalan ayam di pasar raya diseluruh negara stabil dan tidak berlakunya kekurangan ketara sejak 10 hari lalu. - Foto Bernama

Di KOTA BHARU, penternak yang mahu dikenali sebagai Rizal, 45, berkata, langkah kerajaan memansuhkan subsidi itu disambut baik kerana tindakan sebelum ini banyak menguntungkan 'pemain' industri berkenaan yang mengusahakannya dalam skala besar.

"Macam saya yang ternak dalam skala kecil, proses menunggu tuntutan subsidi itu mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sahaja. kalau pengusaha skala besar, mereka mempunyai modal yang besar.

"Macam kami 'ikan bilis', hanya mampu melihat dari jauh sahaja umpama menunggu buah yang lambat gugur," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun semua itu perlu dibuat kajian secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai sudut.

"Anak ayam harga RM2.10 seekor. Harga matang ayam RM6.60. Kerajaan suruh jual RM7.70, tetapi penternak terpaksa tanggung rugi sebab peningkatan harga dedak," katanya.

Di IPOH, Persatuan Penternak Manjung meminta kerajaan tidak menetapkan harga maksimum ayam selepas tiada lagi subsidi mulai 1 Julai nanti.

Pengerusinya, Tan Wooi Perng berkata, tindakan menetapkan harga siling ayam di pasaran akan merugikan penternak yang terpaksa berdepan dengan kenaikan kos makanan ternakan itu.

Jelas beliau, sebaliknya harga ayam perlu ditentukan sendiri oleh pasaran berdasarkan permintaan dan penawaran sedia ada.

"Jika tiada subsidi ayam, memang kita akan susah dan terpaksa tanggung rugi untuk pastikan harga kekal seperti sedia ada. Jadi kita harap kerajaan tidak tetapkan harga maksimum ayam selepas 1 Julai nanti.

"Biarkan pasaran tentukan harga ayam sama ada murah atau mahal supaya penternak dan peniaga tak terbeban. Harga dedak ayam untuk bulan ini pun naik lagi," katanya.

Wooi Perng turut meminta kerajaan mempermudahkan urusan bagi tuntutan bayaran subsidi ayam diumum kerajaan sebelum ini.