141 mangsa ribut terima bantuan MAIPs

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan menyampaikan sumbangan kepada 60 mangsa ribut di Masjid Al-A'la Behor Temak, Kangar pada Khamis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan menyampaikan sumbangan kepada 60 mangsa ribut di Masjid Al-A'la Behor Temak, Kangar pada Khamis.
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan sebanyak RM200,000 kepada 141 mangsa ribut di Perlis di bawah bantuan bencana.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, setiap mangsa menerima bantuan berdasarkan kerosakan ditanggung seperti bumbung yang diterbangkan angin atau melibatkan kerosakan struktur rumah.

Menurutnya, bantuan berkenaan disalurkan secara berfasa kepada semua penerima membabitkan jumlah antara RM400 hingga RM5,000.

"MAIPs bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelaras semua bantuan yang diperlukan mangsa ribut dalam majlis penyampaian bantuan ini.

"JKM turut menyalurkan bantuan tambahan kepada penerima," katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Ribut kepada 60 mangsa ribut di Masjid Al-A'la Behor Temak, Kangar pada Khamis.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs.