'Kami tolak perhimpunan RU 6622 Bekas Perajurit Malaysia'

Pimpinan persatuan veteran ATM Pahang tegas menolak dan mengambil pendirian tidak terlibat dalam RU 6622 Bekas Perajurit Malaysia yang akan diadakan 6 Jun ini. Gambar kecil: Awai
Pimpinan persatuan veteran ATM Pahang tegas menolak dan mengambil pendirian tidak terlibat dalam RU 6622 Bekas Perajurit Malaysia yang akan diadakan 6 Jun ini. Gambar kecil: Awai
A
A
A

KUANTAN - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang tidak mahu terlibat dalam penganjuran perhimpunan RU 6622 Bekas Perajurit Malaysia pada 6 Jun ini.

Pendirian itu ditegaskan pimpinan Persatuan Veteran ATM (PVATM), Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (PVTUDM) Pahang dan Persatuan Bekas Pasukan Khas TUDM (PBPKU) Malaysia.

Yang Dipertua PVTLDM Pahang, Awai Mohamad berkata, sebagai sebuah persatuan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), mereka tertakluk di bawah Akta Veteran 2012 (Akta 740) dan lebih memilih menggunakan saluran yang betul untuk membuat sebarang tuntutan.

Menurutnya, rundingan merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan lima teras tuntutan yang diperjuangkan pihak veteran dan bukan melalui perhimpunan.

"Jika ada ahli persatuan terlibat, ia lebih bersifat peribadi dan sementara. Jangan dikaitkan dengan persatuan ini kerana kami mempunyai jati diri dan taat sedia kepada persatuan," katanya pada sidang akhbar Deklarasi Menolak Perhimpunan RU6622 Bekas Perajurit Malaysia di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi PVTUDM Pahang, Leftenan Kolonel (B),Fakarudin Pilus, Pengerusi PBPKU Malaysia, Mejar (B),Jasni Abd Salam dan Naib Pengerusi PVTUDM Pahang,Ishak Ibrahim.

Awai berkata, persatuan dan JHEV sentiasa memperjuangkan kebajikan ahli sebagai saluran dalam mengemukakan tuntutan.

"Bagi kami lima teras tuntutan yang diperjuangkan itu baik dan tiada sebab untuk menolaknya tetapi ia perlu melalui cara yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Fakarudin berkata, teguran telah dibuat kepada ahli yang mungkin akan turut serta dalam perhimpunan tersebut supaya membatalkan hasrat mereka.

Beliau berkata, asas kepada penolakan kepada perhimpunan itu turut mengambil kira tarikh yang ditetapkan tidak sesuai kerana jatuh pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

"Kenapa perlu pilih tarikh itu dan bukan tarikh lain?

"Sebaiknya tunggu sahaja perkembangan tuntutan daripada jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan bagi membawa tuntutan tersebut kerana perkara ini sudah dalam pertimbangan kerajaan," katanya.

Lima teras tuntutan yang diperjuangkan veteran sebelum ini iaitu penyelarasan pencen, bantuan kebajikan, jangka masa pencen terbitan, penubuhan tribunal pengampunan dan pemberian elaun kenangan bulanan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan veteran ATM akan mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Perhimpunan dijangka dilaksanakan serentak di semua negeri.