11 penjenayah terancang ditahan

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas daripada kumpulan penjenayah terbabit pada 24 Mei lalu.
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas daripada kumpulan penjenayah terbabit pada 24 Mei lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 11 penjenayah termasuk seorang warga emas ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang di negeri ini pada 24 Mei lalu.

Susulan penahanan ahli kumpulan itu, polis berjaya merampas sebutir bom tangan yang masih aktif, enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kumpulan tersebut yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita warga tempatan itu didapati terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, jenayah dan pemilikan senjata api.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 29 hingga 61 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan bermula jam 12 tengah hari di sekitar negeri ini dalam Op Cantas Tanjung III oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.

"Penahanan semua penjenayah ini dibuat selepas kita menahan ketua mereka yang ditangkap bersama sejumlah dadah di Teluk Bahang di sini pada tahun lalu.

"Selepas menahan 11 suspek ini pada 24 Mei, dua hari selepas itu pada jam 1 petang, polis membuat satu lagi operasi dan menjumpai sebutir bom bersama dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan sepucuk pistol semi auto Beretta dengan 90 butir peluru hidup 9MM. Kesemua rampasan ini disorokkan di dalam kebun durian di Teluk Bahang," katanya ketika sidang akhabr di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, kumpulan tersebut bergiat aktif sejak tahun lalu yang turut melibatkan jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran.

"Selain memiliki senjata api, mereka juga menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran. Polis juga berjaya merampas 158 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.6 juta yang ada kaitan dengan kumpulan ini.

"Polis telah menghantar senjata api yang dirampas untuk pemeriksaan lanjut dan ujian balistik untuk mengetahui sama ada ia mempunyai kaitan dengan mana-mana kes jenayah lain," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma selama 28 hari bermula 24 Mei hingga 21 Jun ini.

"Selain disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971/Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, kesemua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang," katanya.