3.26 hektar untuk masjid, tanah perkuburan di kawasan PSR

1
1
A
A
A

GEORGETOWN - Seluas 3.26 hektar tanah daripada keseluruhan kawasan pembangunan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk tujuan pembinaan masjid dan tanah perkuburan yang sudah dirancang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penyerahan tanah itu mengikut Pelan Induk Pindaan yang akan dibentangkan untuk pertimbangan Jawatankuasa Perancang Negeri dalam masa terdekat.

Ahmad Zakiyuddin (PKR-Pinang Tunggal) berkata, selain pembiayaan bagi pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), projek PSR akan memberi banyak manfaat kepada Pulau Pinang berikutan kerajaan negeri merupakan pemilik projek.

"Antara manfaat tersebut adalah pembangunan ekonomi yang dijangka dari segi penjanaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion.

"Selain itu, dari segi pelaburan langsung asing (FDI), ia akan menjana melebihi RM70 bilion serta peluang pekerjaan sebanyak 460,000 menjelang tahun 2050," katanya mengenai keluasan tanah di kawasan PSR yang akan diserahkan kepada MAINPP bagi tujuan pembangunan dan kepentingan masyarakat Islam.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pemerkasaan Komuniti dan Koperasi Pulau Pinang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azrul Mahathir Aziz (Amanah- Bayan Lepas) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Khamis.

Tambah beliau, Pulau Pinang akan menjadi pilihan pelancongan antarabangsa dan tempatan.

"Bagi rakyat setempat, pembangunan sosioekonomi khususnya nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan yang menerima manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) seperti bantuan kewangan (ex-gratia), bot dan enjin baru serta peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Selain itu, mereka berpeluang mengikuti skim latihan dan kemahiran, tuisyen untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah, skim perumahan serta keahlian dalam Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan yang akan menjana pendapatan tambahan untuk mereka," katanya.

Jelas Ahmad Zakiyuddin, kerajaan negeri juga akan menerima manfaat dari segi pembangunan kawasan hijau baharu, khususnya hutan bakau di sekitar pulau PSR dan tempat-tempat lain di Pulau Pinang.

"Semua itu di bawah pelaksanaan Program Pengimbangan Ekologi PSR (PEOM) yang juga termasuk inisiatif seperti pelabuhan tukun tiruan dan unjam, pelepasan benih ikan dan udang, pembinaan garis pantai mesra alam (eco-friendly shorelines) yang menggalakkan biodiversiti, penyediaan peruntukan untuk kajian ekologi laut, penyu, tukun dan sebagainya yang juga memberi manfaat kepada nelayan dan sektor perikanan.

"Melalui manfaat ini, kerajaan negeri akan dapat meneruskan usaha untuk memastikan Pulau Pinang terus maju dan mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi terpilih bagi pelaburan dan pelancongan antarabangsa.

"Kerajaan negeri berharap, pertumbuhan ekonomi yang lestari ini adalah sebagai satu 'pulangan' agar dapat terus menjamin kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.