Zuraida berundur bukan disebabkan rombakan kabinet

Ismail Sabri. - Foto Rosli Talib
Ismail Sabri. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan bahawa Datuk Zuraida Kamaruddin berundur disebabkan akan berlakunya rombakan kabinet dalam masa terdekat.

Naib Presiden UMNO itu mengulas tindakan Zuraida yang mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas bertindak keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tiada kena-mengena (dakwaan) kerana dia umum dulu, tetapi kita tak tahu apa yang berlaku selepas ini. Dia (Zuraida) tak berhenti (sebagai menteri) namun hanya keluar dari Bersatu dan tak berundur dari kabinet.

“Dia berhenti Bersatu pun tiada langsung maklum atau bincang dengan saya kerana itu parti dia, namun saya dapat beri kepastian dari segi jawatan dia kena bincang dengan saya sebab dia sebahagian daripada barisan kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengesahkan belum mengadakan pertemuan bersama Zuraida bagi membincangkan kedudukan pemimpin tersebut sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya difahamkan Zuraida masih bercuti dan kerana itu saya belum dapat lakukan pertemuan bersama. Beliau perlu jelaskan perkara ini sebelum saya buat keputusan.

“Jadi, saya sahkan dia belum datang lagi jumpa saya. Insya ALLAH, selepas dia jumpa saya, kita akan bincang dan buat keputusan agar dia kekal atau kita terima dia mahu meletak jawatan,” katanya.

Sebelum ini ketika berada di Jepun untuk lawatan kerja rasminya, Ismail Sabri menegaskan bahawa Zuraida masih menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Jelasnya, Zuraida perlu menjalankan tugas sebagai menteri seperti biasa dan boleh menghadiri mesyuarat kabinet terdekat kerana kedudukannya sebagai menteri kabinet akan diputuskan selepas mereka bertemu kelak.