'Tindakan Zuraida tidak jejas kerajaan Ismail Sabri'

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A
KOTA BHARU - Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan pengumuman peletakan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang tersebar sejak Khamis lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut belum lagi dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, soal pelantikan dan peletakan jawatan seseorang menteri itu adalah bidang kuasa Perdana Menteri dan kedua-dua pihak belum mengadakan pertemuan bagi sebarang keputusan.

“Apabila pertemuan diadakan, mungkin terima atau mungkin ada pandangan lain dan sebagainya.

“Jadi, kena tunggulah pertemuan itu dan tidak perlu membuat sebarang spekulasi kerana adalah proses biasa bagi seseorang menteri kalau berhasrat nak letak jawatan atau sebagainya perlu bertemu Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Komuniti Keluarga Malaysia dan Rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, di sini pada Sabtu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Komuniti Keluarga Malaysia dan Rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, Kota Bharu, pada Sabtu
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Komuniti Keluarga Malaysia dan Rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, Kota Bharu, pada Sabtu

Sementara itu, Annuar berkata, keputusan Zuraida meletakkan jawatan sebagai menteri tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

“Isu itu tidak akan timbul memandangkan Zuraida meletak jawatan tersebut bukan kerana ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri.

“Zuraida memutuskan untuk meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan ketika ini Zuraida masih lagi seorang menteri sehingga beliau adakan pertemuan bersama Perdana Menteri,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta meninggalkan parti Bersatu untuk menyertai PBM sehingga timbulnya spekulasi pembubaran kabinet.

Pada Sabtu, Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa Zuraida masih menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.