BN perlu belajar dari kekalahan PRU14

A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) harus belajar daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, selepas detik hitam 9 Mei 2018, BN berjaya menyelamatkan parti keramat masing-masing dan mengorak langkah ke hadapan untuk memenangi hati rakyat sekali lagi.

“Parti kita berbeza sejak empat tahun lalu, banyak pengajaran yang telah kita lalui,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Menurutnya, apa yang pasti ialah setiap ahli mahukan BN kuat dan teguh untuk memenangi PRU yang akan datang dan membentuk kerajaan.

“Suara rakyat telah didengari. Selepas dua kemenangan yang cukup bermakna di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, kita semua boleh bersetuju rakyat negara ini mempunyai aspirasi yang sama seperti kita untuk BN kembali berkuasa sepenuhnya.

“Petanda-petanda di PRN Melaka dan PRN Johor cukup jelas menunjukkan sokongan rakyat kembali semula ke pangkuan kita,” katanya.

Tegasnya, pada masa yang sama BN harus menyediakan dan membuka ruang untuk menerima pembaharuan dalam usaha menepati hasrat rakyat.

“Dalam mendepani cabaran PRU15, saya menyarankan agar kita ingat kembali kepada janji-janji kestabilan yang merupakan akujanji kita kepada rakyat di PRN Melaka dan Johor.

“Kemenangan BN di dua negeri itu adalah kerana keinginan rakyat yang inginkan kestabilan dalam pentadbiran negeri bukannya kerana rakyat mengundi berasaskan nostalgia jasa-jasa lampau,” katanya.