Suami isteri abai anak didenda RM14,000

A
A
A

MELAKA - Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas dua tuduhan pindaan mengabaikan anak sulung mereka berusia 14 tahun pada tahun lalu.

Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Saufi Md Paiman dan Nor Azlina Ab Aziz masing-masing berusia 39 tahun yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Saufi didapati telah mendedahkan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di rumah mereka di Taman Bukit Rambai antara jam 7 pagi hingga jam 6 petang pada 16 dan 19 April 2021.

Kesemua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun keseksaan.

Terdahulu kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Fozi Md Zain merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan tertuduh melakukan perbuatan itu disebabkan tekanan kehidupan lebih-lebih lagi selepas anak mereka dituduh mencuri duit ibu mentuanya.

Pendakwaan dikendalikan N. Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

Tambahan pula laporan kesihatan mangsa menunjukkan remaja itu pernah menjalani pembedahan sebelum ini dan tertuduh tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab serta mendedahkan anak mereka kepada sebarang kecederaan mental dan fizikal.

Beliau turut mencadangkan hukuman tambahan yang memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan menyempurnakan satu bon dan penjamin dengan apa-apa tempoh dan sebarang syarat mahkamah melalui khidmat masyarakat.

Mahkamah kemudian memutuskan setiap tertuduh dikenakan denda RM3,500 bagi pertuduhan pertama dan kedua atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Hakim turut memerintahkan pasangan suami isteri itu dikenakan bon jaminan RM2,000 dan seorang penjamin tanpa cagaran dengan syarat tambahan tidak boleh melakukan sebarang pengambaian di bawah jagaan mereka.

Mengikut fakta kes, kejadian itu disedari guru sekolah mangsa apabila remaja itu meluahkan dia dipukul oleh ayahnya pada 19 April.

Siasatan pihak polis kemudian merampas senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa iaitu sebatang penyapu, segulung tali pinggang dan pemukul lalat.

Rawatan di hospital juga mendapati terdapat pelbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh anggota badan mangsa.