17 saman akibat 'bersidai' di lorong kecemasan

Polis mengeluarkan saman terhadap individu yang berhenti di lorong kecemasan. Foto: Facebook IPD Seremban
Polis mengeluarkan saman terhadap individu yang berhenti di lorong kecemasan. Foto: Facebook IPD Seremban
A
A
A

SEREMBAN - Polis mengeluarkan 17 saman terhadap pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di laluan Temiang-Pantai yang mendapat jolokan 'New Zealand Malaysia' di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tindakan itu diambil oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban pada jam 5.30 petang dalam operasi halangan dilaksanakan.

"Operasi Ops Halangan dibuat bagi mengelakkan tindakan segelintir pengguna jalan raya yang berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan itu yang boleh mengundang bahaya semua pihak.

"Sepanjang operasi ini sebanyak 17 saman dikeluarkan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu 'Larangan Terhadap Halangan' dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu lorong kecemasan yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalu lintas.

Ujarnya, pesalah juga boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam.

"Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

"Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya," katanya.